Sunday, October 24, 2010

50 Peratus Jemaah Haji Malaysia Telah Berada Di Tanah Suci

MEKAH, 24 Okt (Bernama) -- Menjelang hari wukuf 15 Nov ini, 50 peratus dari 26,000 jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan rukun Islam kelima itu telah berada di tanah suci.

Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata ketibaan mereka dijangka meningkat dengan cepat apabila penerbangan dari Kuala Lumpur terus ke Jeddah bermula Ahad.

Beliau berkata jemaah akan terus memasuki Kota Mekah dari Jeddah. Sebelum ini mereka yang tiba akan tinggal di Madinah selama lapan setengah hari sebelum memasuki Kota Mekah.

"Daripada separuh jemaah haji itu, 40 peratus telah berada di Kota Mekah dan bakinya masih berada di Madinah," katanya kepada pasukan media Tabung Haji (TH) di Ibupejabat TH Mekah di Hotel Al Janadriyah.

Beliau berkata jemaah dari Madinah dan Jeddah dibawa dengan bas ke Kota Mekah dengan diiringi pasukan peronda untuk memastikan keselamatan mereka selain memberi bantuan jika berlaku masalah.

Syed Salleh berkata setiap kumpulan jemaah yang tiba di Kota Mekah akan diberi taklimat mengenai perkara-perkara penting berkaitan amalan haji dan umrah selain penerangan tentang laluan ke Masjidil Haram.

"TH juga meletakkan tanda laluan serta peronda bagi membantu jemaah Malaysia yang mungkin tersasar atau memerlukan bantuan," katanya sambil memberitahu bahawa tahap kesihatan mereka memuaskan kecuali beberapa jemaah warga emas yang menghadapi tekanan dan igauan.

Sementara itu Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Salleh Abdul Mubin, Syed Saleh dan Konsul Haji Malaysia di Jeddah Mohd Khalid Nordin mengunjungi pejabat Timbalan Menteri Haji Arab Saudi.

Ketibaan mereka kira-kira 1 tengahari (6 petang waktu Malaysia) disambut wakil timbalan menteri berkenaan, Hatem Qadhi.

Hatem diberi penerangan mengenai persiapan Tabung Haji pada musim haji ini oleh Mohd Salleh dan perbincangan hampir setengah jam itu turut menyentuh aspek kebajikan jemaah.

-- BERNAMA

ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...