Tuesday, October 26, 2010

Bincang jual Bakun muktamad akhir tahun

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Perbincangan penjualan empangan hidro elektrik Bakun di Sarawak dijangka dimuktamadkan sebelum pertengahan tahun depan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, oleh sebab, empangan itu akan mula menjana tenaga elektrik pada pertengahan tahun depan, sebarang keputusan tentang penjualannya akan dimuktamadkan sebelum tempoh tersebut.

‘‘Bakun merupakan milik Kementerian Kewangan Diperbadankan dan ia sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Sarawak pada masa ini. Saya, bagaimanapun, tidak mengetahui lebih lanjut mengenai perbincangan tersebut,’’ kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab Forum Eksekutif ABB bertemakan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan Model Baru Ekonomi (MBE) - Menjana Transformasi Ekonomi Malaysia dan Tenaga Mapan Pada Masa Hadapan, di sini hari ini.

Forum itu dianjurkan oleh ABB Malaysia Sdn. Bhd. (ABB).

Bulan lalu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kerajaan negeri telah menawarkan untuk membeli empangan tersebut pada harga RM6 bilion.

Namun, katanya, kerajaan negeri akan meningkatkan bidaan kepada RM7 bilion sekiranya kaedah pembayaran boleh dirunding.

Sebelum ini, terdapat laporan mengatakan terdapat dua lagi pembida dari kerjasama antara Qatar Investment Authority, Malton Bhd. dan sebuah syarikat China yang menawarkan pembelian pada harga RM8.8 bilion.
Pembida lain adalah unit pelaburan strategik kerajaan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dengan nilai tawaran RM8 billion.

Kos keseluruhan empangan Bakun adalah RM7.3 bilion, tetapi ia telah melebihi kadar tersebut berikutan beberapa masalah yang berlaku ketika pembinaannya.

Ketika diminta mengulas mengenai pengunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga baru untuk menjana elektrik, Fah Kui berkata, kerajaan berharap unit pertama loji penjanaan tenaga akan dapat disiapkan menjelang 2012.

‘‘Ia mungkin dapat direalisasikan menjelang 2021 apabila kerja-kerja asas dan penjelasan kepada rakyat telah dibuat mengenai kebaikan dan keburukan penggunaan tenaga elektrik.

‘‘Mengenai lokasi loji nuklear tersebut, kami telah mengenal pasti beberapa lokasi tetapi masih terlalu awal untuk mengumumkannya. Apa yang boleh saya katakan semuanya dilakukan dengan telus,’’ jelasnya.


ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...