MBE, RMKe-10 dasar reformasi serta berpandangan jauh
TABUNG Mata Wang Antarabangsa (IMF) yakin Malaysia mampu mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi purata lebih lima peratus setahun khususnya dengan pelaksanaan Model Baru Ekonomi (MBE).
“Susulan itu, kami tidak bimbang mengenai jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Ia adalah mantap dan mampu melebihi lima peratus,” katanya dalam temu bual dengan Berita Harian dan Business Times di Jakarta minggu lalu.
Keyakinan itu dilahirkan Anoop di sebalik wujudnya risiko pemulihan ekonomi perlahan di negara maju yang memperlahankan permintaan import khususnya dari negara Asia termasuk Malaysia.
MBE diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Persidangan InvestMalaysia 2010 pada 30 Mac lalu yang kemudian disepadukan dalam RMKe-10 adalah pelan reformasi struktur ekonomi negara dengan sasaran menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Mengenai prospek dalam jangka terdekat, Anoop berkata, pihaknya mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar 6.7 peratus tahun ini dan 5.3 peratus tahun depan.
Badan kewangan pelbagai hala antarabangsa itu berkata, dalam ketidaktentuan ekonomi global khususnya di negara maju, langkah yang diambil negara Asia termasuk Malaysia dalam membangunkan infrastruktur akan meningkatkan pelaburan swasta, justeru merangsang permintaan domestik.
Dalam jangka pendek, katanya, ia akan memberi manfaat kepada industri yang terbabit secara langsung dalam projek berkenaan, manakala dalam jangka panjang, ia memanfaatkan pengguna, memantapkan sistem perhubungan serta berpotensi menarik pelaburan tambahan.
Mengenai kebimbangan sesetengah pihak berhubung hutang isi rumah di Malaysia yang meningkat kepada 77 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu, Anoop berkata, ia masih tidak menggugat kedudukan ekonomi negara.
“Kami tidak melihat wujud tekanan khususnya terhadap kedudukan ekonomi makro dan rizab Malaysia.
“Dari segi sensitiviti pasaran juga, kami tidak melihat kebimbangan. Malah, keyakinan pasaran Malaysia adalah tinggi khususnya dengan pengumuman MBE,” katanya.
IMF juga, kata Anoop yakin dengan kemampuan Bank Negara Malaysia dalam mengawal perkara itu jika ia mula menjejaskan ekonomi.
“Sebelum ini, Bank Negara sudah melaksanakan langkah kawalan awal dengan menaikkan kadar faedah sehingga 0.75 peratus tahun ini,” katanya.
“Malaysia adalah negara terawal menaikkan semula kadar faedah selepas krisis kewangan global. Selain itu, belum ada bukti menunjukkan berlaku kenaikan keterlaluan harga aset di Malaysia,” katanya.
ah!!berita



