Saturday, October 30, 2010

Keluarga dakwa 'bas buruk'

BALING 30 Okt. - Keluarga tujuh mangsa yang maut dalam kemalangan bas pelancongan di kilometer 38 Genting Sempah dekat Kuala Lumpur malam tadi, mendakwa bas yang dinaiki mangsa adalah bas buruk dan bukannya bas yang dijanjikan syarikat terbabit sebelum ini.

Kebanyakan anggota keluarga ditemui di Kampung Baru, Mukim Siong reda dengan kejadian itu tetapi kesal kerana pihak syarikat bas berkenaan tidak menunaikan janji seperti yang dibuat.

Mustaffa Ibrahim, 60, berkata, keluarganya menerima kejadian yang menimpa anaknya Mohd. Fahmi, 17, sebagai takdir tetapi kesal apabila mendapat tahu bas yang sepatutnya membawa rombongan itu digantikan dengan bas buruk.

"Saya reda dengan ketentuan Ilahi tetapi kesal kerana bas yang naiki itu bukan bas yang dijanjikan pihak syarikat bas itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Dalam kejadian 7.50 malam tadi, sebuah bas yang membawa 44 anggota Belia 4B dari Kampung Baru Siong terbabit dalam nahas ketika menuruni bukit selepas bertolak dari Genting Highlands.

Mustaffa berkata semua mangsa yang maut mempunyai hubungan keluarga antara satu sama lain.
Beliau yang juga seorang imam di sebuah masjid di sini berharap kejadian itu tidak berulang lagi dan mahu pihak berkuasa memantau setiap rombongan bagi mengelak kejadian serupa tidak berulang.

Seorang lagi bapa mangsa, Husin Hamid, 54, berkata, beliau kesal apabila mengetahui bas yang dinaiki anaknya Mohd. Ridzuan menghadapi masalah sehingga meragut nyawa anaknya itu.

Beliau menyerahkan sebarang tindakan terhadap syarikat bas berkenaan kepada pihak yang terlibat untuk mereka mencari keadilan dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Siong (SMKS) Azizah Hussain, 32, yang ditemui di rumah keluarga seorang mangsa terbabit berkata, beliau terkejut apabila mendapati semua pelajar yang terbunuh, pernah menjadi anak muridnya sebelum ini.

"Saya amat terkejut dengan kejadian yang berlaku dan tidak menyangka sama sekali mangsa yang maut adalah pelajar-pelajar yang pernah saya ajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Siong," katanya.

Persiapan untuk mengkebumikan tujuh mayat mangsa kejadian itu sudah pun disiapkan di Tanah Perkuburan Kampung Baru, Siong, dengan menggunakan jentolak untuk mengkebumikan tujuh mayat terbabit dalam satu liang lahat.

Setiausaha UMNO Bahagian Baling, Abdullah Sani Mahmud berkata, semua urusan persiapan bagi membawa pulang jenazah ke Baling diuruskan oleh Jabatan Belia dan Sukan. - BERNAMA


ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...