KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) yakin juara lompat tinggi Kejohanan Trek dan Balapan Asia (ATF) Lee Hup Wei mampu menyumbang sekurang-kurang satu pingat tanpa mengira warna pada Sukan Sukan Asia di Guangzhou, China bulan depan.
Timbalan presidennya Karim Ibrahim meluahkan keyakinan tersebut berdasarkan kelebihan dari segi pengalaman dan kemahiran yang ada pada anak kelahiran Dengkil itu.
"Saya harap Hup Wei mampu menyerlah pada temasya bulan depan seterusnya menyumbangkan pingat negara jika beliau mengekalkan atau memperbaiki lompatan 2.26m atau 2.27m," katanya kepada Bernama di sini.
Ketika beraksi di Sukan Komanwel di New Delhi baru-baru ini, persembahan Hup Wei agak mengecewakan apabila sekadar melepasi 2.23m, jauh lebih rendah daripada keupayaannya pada 2.27m yang juga rekod kebangsaan.
Hup Wei, yang menang emas ATF di Jordan tiga tahun lepas, menduduki tempat kelapan pada Sukan Asia Doha, Qatar pada 2006.
Sementara itu, Karim berkata beliau kurang yakin dengan kemampuan ratu lompat bergalah, Roslinda Samsu untuk melakukan kejutan di Guangzhou nanti.
"Beliau perlu menyaingi catatan terbaiknya 4.40m untuk layak meraih pingat," katanya.
Karim berkata Roslinda perlu melipat gandakan semangat dan usahanya jika beliau benar-benar berhajat mahu membawa pulang pingat.
Roslinda pulang dengan tangan kosong pada Sukan Komanwel lepas, apabila hanya berupaya melakukan lompatan 3.95 meter berbanding catatan terbaiknya 4.40m dan menamatkan saingan akhir di tempat ke-10.
Keputusan itu menunjukkan kemerosotan ketara memandangkan beliau pernah meraih perak pada Sukan Asia Doha 2006 dengan lompatan 4.35m, dan pada Sukan Komanwel di Melbourne, Australia tahun yang sama Roslinda mencatatkan 4.25m.
Ketika ditanya tentang keupayaan kuartet baru negara, Karim berkata beliau tidak meletakkan harapan kepada kuartet 4x100m negara iaitu Siti Zubaidah Adabi, Norjannah Hafiszah Jamaludin, Nurul Sarah Abdul Kadir dan Yee Yi Ling sebaliknya mengharapkan pencapaian yang terbaik dapat dibuat kumpulan baru itu.
"Saya harap mereka dapat menyaingi catatan rekod kebangsaan yang mereka buat pada Julai lepas," katanya.
Kuartet tersebut melakukan catatan baru 45.33 saat dalam acara 4x100m wanita semasa beraksi di Kejohanan Olahraga di Poland.
Catatan itu memperbaharui rekod kebangsaan 45.37 saat yang berusia 21 tahun yang dilakukan oleh gandingan Anita Ali, G.Shanti, Sajaratuldur Hamzah dan Mumtaz Jaafar pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.
Setakat ini, seramai enam orang iaitu Hup Wei, Roslinda dan kuarter 4x100m itu telah menempah tiket ke Guangzhou.
Peluang untuk beraksi di Sukan Asia yang akan berlangsung dari 12 hingga 27 Nov masih terbuka kerana senarai akhir hanya akan dimuktamadkan selepas Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan yang akan berlangsung di Trek Olahraga Majlis Sukan Negara (MSN) pada Sabtu dan Ahad ini.
-- BERNAMA
ah!!berita
Wednesday, October 27, 2010
KOAM Yakin Jaguh Lompat Tinggi Negara Mampu Beri Pingat
4:52 PM
No Comments



