KANGAR, 25 Okt (Bernama) -- Kumpulan penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya menghasilkan teknologi baru dalam fabrikasi nano elektronik khusus untuk mengesan penyakit kanser di peringkat awal.
Ketua Penyelidik, Prof Dr Uda Hashim dari Institut Kejuruteraan Nano Elektronik UniMAP berkata, teknologi yang dihasilkan secara dalaman itu hanya menggunakan fasiliti Fabrikasi Mikro konvensional, tanpa membabitkan peralatan tambahan seperti litografi alur elektron.
Beliau berkata melalui kaedah istimewa itu, ia membolehkan teknologi tersebut diadaptasi dengan mudah secara meluas dalam industri semikonduktor sedia ada.
"Teknologi nano ini berupaya menghasilkan struktur nano dalam skala sekecil di bawah 50 nanometer, dan dapat digunakan dalam pelbagai aplikasi, terutamanya dalam bidang peranti nano elektronik dan biosensor nano," katanya kepada pemberita hari Isnin.
Uda berkata dengan mengaplikasi teknologi itu, pihaknya berjaya menghasilkan dua produk berasaskan biosensor, iaitu "biosensor nanogap" dan "biosensor nanowire" yang berfungsi sebagai sensor yang sangat sensitif dalam mengesan perubahan pada biomolekul seperti DNA.
Beliau berkata kedua-dua produk berpotensi digunakan bagi pengesanan awal kanser dan produk halal melalui teknik yang jauh lebih cepat, mudah dan murah.
Katanya, kejayaan penyelidikan itu diharap membolehkan penyelidik sains nano dan teknologi nano menerima manfaat dalam memudahkan penyelidikan berasaskan fabrikasi struktur nano.
"Matlamat kami dalam menghasilkan produk penyelidikan adalah untuk masyarakat, justeru, kami amat berharap teknologi dan produk yang kami hasilkan ini mampu memberi sumbangan kepada masyarakat," katanya.
Produk yang dinamakan "Edge Transfer Lithography for Nano-Electronic Application" itu berjaya meraih Anugerah Khas Platinum dan Anugerah Emas Pameran pada British Invention Show yang berlangsung di Istana Alexander, London pada 13 hingga 16 Oktober lalu.
Pada pameran itu, UniMAP telah menghantar tiga produk penyelidikan yang mencatatkan kejayaan mutlak apabila kesemuanya berjaya membawa pulang pingat emas, termasuk produk yang dihasilkan kumpulan Uda.
-- BERNAMA
ah!!berita
Monday, October 25, 2010
Kumpulan Penyelidik UniMAP Hasilkan Teknologi Kesan Kanser
4:51 AM
No Comments



