Wednesday, October 27, 2010

MSN Sasar Bawa Pulang Sembilan Emas Di Guangzhou

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) mensasarkan untuk membawa pulang sembilan pingat emas pada temasya Sukan Asia di Guangzhou, China menerusi tiga sukan pilihan utama iaitu berbasikal, tenpin boling dan skuasy.

Ketua Pengarahnya Datuk Zolkples Embong berkata tiga daripada sembilan emas yang disasarkan itu dijangka diraih menerusi skuad boling iaitu dalam acara perseorangan lelaki, wanita dan beregu.

Beliau berkata perkara itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai skuad negara memandangkan kejayaan demi kejayaan yang telah dirangkul dalam pelbagai kejohanan di peringkat antarabangsa.

"Saya melihat kekuatan skuad tenpin boling pada kali ini. Mereka mempunyai kekuatan yang seimbang antara lelaki dengan wanita. Namun begitu, pasukan wanita masih kekal dengan prestasi memberangsangkan.

"Kalau dulu kita bergantung kepada pasukan wanita tetapi sekarang ini pasukan lelaki dengan pengalaman yang ada di kalangan pemain veteran seperti Alex Liew dan Zulmazran Zulkifli ditambah dengan keupayaan pemain muda seperti antaranya Adrian Ang, Muhd Syafiq Ridhwan, dan Muhd Nur Aiman Khairuddin mampu merancakkan misi kita memburu emas," katanya.



Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat latihan persiapan skuad tenpin boling di Megalanes Endah Parade, Sri Petaling di sini Rabu.

September lepas, Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) mengumumkan 12 pemain termasuk enam wanita bagi menggalas cabaran negara di Guangzhou, November ini.



Pemain lelaki terpilih ialah Adrian Ang, Alex Liew, Muhd Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Aaron Kong, Zulmazran Zulkifli dan Muhd Nur Aiman Khairuddin manakala pasukan wanita terdiri daripada Zatil Iman Abdul Ghani, Zandra Aziela Ibrahim Hakimi, Esther Cheah, Sin Li Jane, Sharon Koh dan Shalin Zulkifli.

Bagaimanapun, lima pemain iaitu Adrian, Muhd Syafiq, Muhd Nur Aiman, Li Jane dan Zatil Iman akan bersaing buat julung kali pada temasya Sukan Asia manakala pemain lain telah beraksi pada Sukan Asia Doha, Qatar pada 2006.

Skuad boling telah menyumbang tiga daripada lapan pingat emas yang dimenangi oleh Malaysia pada temasya berkenaan.

Pengurus pasukan ke Guangzhou ialah naib presiden MTBC, Cheah Ban Cheng dan Holloway Cheah sebagai ketua jurulatih.

Sebanyak 12 pingat emas akan dipertandingkan dalam acara tenping boling dan acara perseorangan lelaki akan membuka tirai pada 15 Nov.

-- BERNAMA 

ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...