Tuesday, October 26, 2010

Pengeluar Filem Malaysia Digesa Filemkan Novel Sandokan

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Pengeluar filem di negara ini digesa mengangkat buku garapan penulis terkenal antarabangsa seperti pengarang Itali Emilio Salgari, yang memanfaatkan bahan dari khazanah dunia Melayu, sebagai filem.

Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit berkata Salgari menulis novel yang amat popular berkisar tentang seorang pahlawan bernama Sandokan, dan ini membuktikan bahan dari dunia Melayu boleh diangkat serta diolah sehingga menjadi karya yang mengasyikkan khalayak antarabangsa.

"Perjuangan Sandokan mencetuskan satu fenomena yang memberi kesan, khususnya kepada khalayak Itali, dan masyarakat Eropah secara umumnya, terutama sekali di kalangan generasi muda di sana.

"Sesudah dicipta sekian lama oleh Emilio Salgari, kisah pemimpin karismatik yang memperjuangkan pembebasan Borneo daripada penjajahan terus disebar luas meliputi siri drama, filem, komik, filem animasi termasuk secara online serta DVD.

"Memang merugikan jika kita rakyat Malaysia tidak tahu-menahu tentang pengkisahan ini, jadi, pengeluar filem di negara ini diharapkan dapat membuat filem mengenai Sandokan, supaya masyarakat kita juga boleh menghargainya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan novel "Sandokan: Lanun Malaysia" di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini hari Selasa.

Turut hadir pada majlis anjuran bersama Institut Terjemahan Negara (ITNM) dan kedutaan Itali di Malaysia sempena program "Minggu Bahasa Itali di Dunia" yang bermula hari ini sehingga Jumaat, ialah Duta Itali ke Malaysia Folco de Luca Gabrielli.

Dawos berkata ITNM juga perlu mengambil inisiatif untuk menterjemah lebih banyak karya Salgari dan penulis terkenal yang lain.

Novel terjemahan ITNM daripada buku asal yang diterbitkan pada 1896, karya Emilio Salgari berjudul "I pirati della Malesia" mengisahkan tentang Sandokan, watak protagonis dalam 11 novel pengembaraan karya Salgari, dan dikenali di serata Laut Cina Selatan sebagai "Harimau Malaya".

-- BERNAMA

ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...