Saturday, October 30, 2010

Perdana Menteri Australia Mulakan Lawatan Ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Australia Julia Gillard memulakan lawatan dua harinya ke Malaysia pada Ahad selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur di Hanoi, Vietnam.

Wisma Putra dalam satu kenyataan di sini berkata Gillard dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatan Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya Ahad.

Najib juga akan mengadakan jamuan tengah hari meraikan delegasi Australia itu.

Kenyataan itu berkata Gillard akan diiringi pasangannya dan pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri dan Kabinet, Jabatan Hal Ehwal Luar Negara dan Perdagangan, serta Jabatan Kewangan dan Deregulasi Australia.

Lawatan ini sangat bermakna bagi Malaysia kerana ia merupakan lawatan perhubungan dua hala pertama Gillard ke rantau ini selepas menjadi Perdana Menteri pada 24 Jun lepas, kata kenyataan itu.

"Lawatan ini akan memberi peluang kepada Malaysia dan Australia untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu bersama membabitkan hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa," kata kenyataan itu.

Australia adalah rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia pada tahun lepas. Dagangan dua hala merekodkan RM22.96 bilion (US$7 bilion) bagi tempoh Jan-Ogos tahun ini, iaitu peningkatan 20.5 peratus berbanding RM19.28 (US$5.4 bilion) untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Ketibaan pelancong Australia juga meningkat hampir 25 peratus kepada 533,382 orang tahun lepas, berbanding 2008.

-- BERNAMA

ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...