NAIB juara Liga Super, Kelantan tidak mahu lagi dilabel pasukan kedua terbaik apabila bertemu Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Jurulatih Kelantan B.Sathianathan berkata pasukannya kini fokus untuk mencipta sejarah bola sepak negeri itu bagi memenangi buat kali pertama piala paling berprestij di dalam saingan bola sepak negara itu yang mula diperkenalkan sejak 1921 walaupun sudah tiga kali mara ke perlawanan akhir sebelum ini.
“Sejak dua musim ini juga, kami hanya menjadi pasukan kedua terbaik dengan bergelar naib juara Piala Malaysia dan Piala FA musim lalu serta naib juara Liga Super musim ini.
“Jadi pada perlawanan akhir ini saya berharap pemain boleh mengatasi tekanan dan bermain seperti biasa seperti dipamerkan ketika menyingkirkan Kedah (separuh akhir) dan Selangor (suku akhir),” katanya yang turut tidak mahu ganjaran menjadi tumpuan utama pemain walaupun terdapat laporan Persatuan Bola sepak Kelantan (KAFA) akan memberi ganjaran RM100,000 kerana berjaya ke peringkat akhir.
Menurut bekas pengendali skuad kebangsaan itu faktor kegagalan mengatasi tekanan juga yang menyebabkan skuad The Red Warriors itu tewas 3-1 pada perlawanan akhir kepada Negeri Sembilan tahun lalu yang jelas mempunyai pengalaman yang lebih banyak beraksi di pentas akhir.
“Malah pada Sabtu ini juga Negeri Sembilan adalah pasukan pilihan berdasarkan kematangan dan pengalaman yang miliki jurulatih Wan Jamak Wan Hassan yang berjaya mengatasi Johor FC di peringkat separuh akhir dengan agregat 2-1 walaupun ketinggalan satu gol pada pusingan pertama,” jelasnya.
“Selepas itu mereka hilang tumpuan dan tidak yakin menjaringkan gol kerana banyak diselamatkan penjaga gol lawan dan tersasar namun jaringan tunggal Norshahrul Idlan mengubah semuanya untuk membolehkan Kelantan layak ke pentas akhir dua tahun berturut-turut,” katanya.
Gol kemenangan Kelantan dijaringkan m-79 melalui sepakan penjuru Norshahrul ditampan masuk oleh penjaga gol Kedah, Mohd Helmi Eliza Elias.
Sementara itu, Sathianathan yang digantung enam bulan dan denda RM 2,000 oleh Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) pada Jumaat lalu berkata beliau akan membuat rayuan melalui KAFA dalam masa terdekat.
ah!!berita



