Tuesday, November 2, 2010

Pendandan rambut bantu tangani kes bunuh diri

TOKYO: Pendandan rambut diminta membantu menangani kes bunuh diri yang semakin meningkat di sebuah bandaraya di Jepun.
Pihak pentadbiran di Toyama kira-kira 186 batu di barat-laut Tokyo melancarkan kaedah pertama seumpamanya di negara itu yang menggunakan khidmat pendandan rambut sebagai orang tengah antara individu yang bermasalah dengan kaunselor profesional. Tindakan itu diambil berikutan penyelidikan universiti menunjukkan pendandan rambut mampu menjadi pendengar setia kepada pelanggan yang gemar menceritakan masalah kepada mereka.

Lebih 650 pendandan rambut di bandaraya itu mengambil bahagian dalam projek baru itu yang memerlukan mereka membabitkan diri dalam latihan syarahan bersama pakar psikologi klinikal bagi membantu mereka mengenal pasti individu yang memerlukan bantuan. Pendandan rambut juga diberikan buku panduan yang boleh diserahkan kepada pelanggan yang dipercayai menghadapi masalah kemurungan atau hasrat untuk membunuh diri supaya mereka dapat menghubungi kaunselor psikologi profesional. Jurucakap pihak pentadbiran Toyoma berkata: “Kaunselor psikologi mendapat idea untuk menggunakan khidmat pendandan rambut sebagai perantara untuk mendekati mangsa yang bermasalah.

Pelanggan selalunya mempunyai hubungan yang terbuka dengan pendandan rambut dan berbual mengenai pelbagai tajuk dengan mereka.” “Dengan ini, kami memutuskan untuk mendapatkan kerjasama pendandan rambut bagi membantu mencegah kejadian bunuh diri berlaku.” Tahun lalu seramai 102 orang membunuh diri di Toyama dengan nisbah 24.2 orang bagi setiap 100,000 iaitu lebih dua kali ganda kadar bunuh diri di Britain, menurut catatan rekod Organisasi Kesihatan Sedunia. - Agensi


ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...