LA VERRIERE (Perancis): Seorang bayi mati dan beberapa yang lain cedera parah apabila satu keluarga terdiri daripada 11 orang terjun dari flat tiga tingkat untuk melarikan diri daripada lelaki yang mereka sangka hantu.
Anggota bomba dikerahkan ke kampung La Verriere, pinggir Paris Sabtu lalu, selepas menerima laporan mengenai beberapa orang terjun dari rumah pangsa itu.
Antara yang mereka temui cedera dalam kejadian itu ialah seorang lelaki keturunan Afrika yang bertelanjang bulat dengan kecederaan pada tangannya dan dua kanak-kanak, seorang daripadanya bayi dan budak perempuan berusia dua tahun.
Bayi itu mati ketika dirawat di hospital di Paris.
Penolong Pendakwa Raya di Versailles, Odile Faivre memberitahu wartawan, kejadian bermula awal pagi apabila sekumpulan 13 orang menonton televisyen di sebuah apartmen dan lelaki berbogel itu mendengar bayi berkenaan menangis.
“Lelaki itu bangun untuk membuat susu apabila isterinya yang melihatnya menjerit ‘Hantu, hantu,” kata penolong pendakwa raya itu.
Dalam keadaan kelam kabut itu, adik ipar lelaki itu menikam tangannya sebelum menolaknya keluar menerusi pintu depan.
Apabila dia cuba masuk semula, keadaan menjadi lebih kelam-kabut.
“Penghuni lain rumah itu melarikan diri dengan terjun menerusi tingkap,” kata Odile.
Menurut polis, seorang lelaki terjun sambil memeluk kanak-kanak berusia dua tahun itu dan bersembunyi di kawasan semak.
Penyiasat tidak menemui sebarang kelengkapan hasilunasi di rumah itu dan tiada bukti menunjukkan upacara pemujaan dilakukan.
Tujuh daripada mereka yang terjun itu dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
“Ada beberapa perkara yang memerlukan penjelasan,” kata Odile. - AFP
ah!!berita



