Wednesday, October 27, 2010

Angka korban meningkat

PADANG: Pesawat dan helikopter yang penuh dengan pekerja penyelamat dan bekalan bantuan mendarat buat kali pertama di kepulauan pedalaman Indonesia semalam selepas kawasan berkenaan dilanda tsunami setinggi tiga meter lewat Isnin lalu, meragut sekurang-kurangnya 311 nyawa.
Seramai 160 cedera manakala 410 lagi hilang.

Gambar pertama yang dirakam menerusi udara menunjukkan sebahagian besar kawasan itu ditenggelami air dan tempat kediaman musnah akibat dipukul ombak besar itu.

Ia satu daripada dua bencana yang melanda Indonesia dalam tempoh 24 jam. Gunung berapi paling aktif di negara itu, Gunung Merapi yang terletak kira-kira 1,300 kilometer ke timur Sumatera meletup petang kelmarin, mengeluarkan asap dan menyebabkan 30 orang terbunuh.


Kedua-dua kejadian itu berlaku di sepanjang Lingkaran Api yang terdedah kepada gempa bumi dan kegiatan gunung berapi.

Sejak gempa melanda Kepulauan Mentawai malam Isnin lalu, ombak kuat dan cuaca buruk menjejaskan operasi menyelamat, menyebabkan penduduk terpaksa berdikari untuk menyelamatkan diri.
Click Here
Tanpa tenaga secukupnya untuk menggali kubur, mayat terbiar bergelimpangan di kawasan pantai dan jalan raya, kata ketua daerah di kepulauan itu, Edison Salelo Baja.

Pegawai bantuan bencana masih berusaha menjejaki lebih 12 kampung di kawasan paling teruk terjejas di Kepulauan Mentawai, destinasi popular untuk peluncur ombak.

Kawasan itu hanya boleh dimasuki dengan menaiki bot selama 12 jam.

Ketua Pusat Bencana Kementerian Kesihatan, Mujiharto berkata, pegawai bantuan membawa bersama-sama mereka beratus-ratus beg mayat.

Gempa dengan magnitud 7.7 itu yang melanda lewat Isnin lalu berlaku 20 kilometer di bawah dasar lautan. Ia diekori dengan sekurang-kurangnya 14 gegaran susulan dengan yang terkuat berukuran 6.2.

Ketua Pusat Pengurusan Bencana Sumatera Barat, Harmensyah berkata, jumlah korban akibat tsunami itu meningkat kepada 311 orang dan lebih 400 penduduk hilang.

Pegawai berkata, beratus-ratus rumah kayu hanyut di Pulau Pagai dengan sebahagian besar kawasan pertanian dan jalan raya ditenggelami air.

Di Muntei Baru, sebuah kampung di Pulau Silabu, 80 peratus kediaman rosak teruk.

Kedua-dua pulau itu adalah sebahagian daripada kepulauan Mentawai, kira-kira 270 kilometer dari pantai barat Sumatera. - AFP


ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...