Wednesday, October 27, 2010

Penjaga Merapi terkorban

UMBULHARJO, (Indonesia): Seorang penjaga Gunung Merapi yang dikenali sebagai ‘Kakek Marijan’ ditemui mati tertimbus di bawah timbunan debu selepas gunung berapi berkenaan meletup, semalam.
Mayat Marijan dan kira-kira 28 yang lain ditemui di bawah timbunan debu ketika anggota pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari mangsa yang terbunuh mahupun yang masih hidup.

Lelaki berusia 70-an yang dilantik sebagai penjaga Gunung Merapi oleh kerabat diraja Jawa sebelum ini sudah melakukan pelbagai upacara tradisi sejak bertahun-tahun lamanya dari kediamannya di kaki gunung itu bagi mententeramkan semangat gunung berkenaan.

Mayat Marijan yang ditimbusi debu ditemui dalam keadaan bersujud menandakan penjaga Gunung Merapi itu berjuang hingga ke detik terakhir bagi mengelak gunung itu meletus.


Media tempatan melaporkan seorang wartawan pergi ke kediaman Marijan untuk memujuknya meninggalkan tempat itu selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran terakhir pada Isnin lalu menjangkakan letupan besar akan berlaku.

Namun, seorang anggota penyelamat, Taufik memberitahu lelaki tua itu enggan meninggalkan kediamannya.
“Saya sudah biasa di rumah, jadi lebih baik saya tinggal di sini dan bersolat saja,” kata Taufik sebagai memetik kenyataan Marijan. Penduduk desa di kaki Gunung Merapi meluahkan kesedihan dan kebimbangan dengan kematian penjaga gunung itu.

“Bagi kami, Marijan sama pentingnya dengan Merapi. Kini, dia sudah tiada lagi dan siapa yang akan menjaga Merapi? Apa yang akan terjadi jika berlaku lagi letupan?” kata petani, Wanto. Gunung Merapi yang berketinggian 2,915 meter dan membawa maksud ‘Gunung Api’ adalah paling aktif daripada 69 gunung berapi di Indonesia. - AFP


ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...