KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM),yang membantu wilayah Shenyang, China menubuhkan sebuah pusat kewangan Islam, menjangka beberapa perkembangan positif dari negara itu minggu depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Adnan Alias, berkata Datuk Bandar Shenyang dan gabenor Shenhe akan berada di Malaysia pada 8 Nov untuk mengadakan perbincangan perniagaan.
"Saya tidak pasti apa yang mereka mahu. Kami telah memainkan peranan kami sebagai penasihat pembangunan fizikal bagi projek itu.
"Oleh kerana kami telahpun menyiapkan bahagian kami, mungkin mereka berada di sini untuk berunding mengenai apakah peranan kami berikutnya.
"Saya betul-betul tidak tahu," katanya kepada pemberita pada luar acara upacara menandatangani memorandum persefahaman antara IBFIM dan Bank Islam Maldives di sini hari Selasa.
Pada 29 Jan tahun ini, Pihak Berkuasa Wilayah Shenyang menandatagani satu memorandum kerjasama dengan rakan kongsinya di Malaysia, IBFIM dan Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur (KLCAH).
Melalui perkongsian itu, IBFIM, melalui KLCAH, akan memberikan khidmat nasihat dan perundingan syariah kepada Pihak Berkuasa Wilayah Shenyang serta latihan dalam perbankan dan kewangan Islam.
China, kuasa ekonomi baharu dan satu daripada ekonomi terpantas perkembangannya di dunia, mengambil keputusan untuk melaksanakan perbankan dan kewangan Islam.
Ia merancang untuk menarik institusi perbankan dan kewangan Islam ke negara itu dengan mewujudkan sebuah hab kewangan Islam.
Shenyang, bandar raya terbesar di timur laut China, telah memulakan rancangan ini dengan mendapatkan kepakaran Malaysia dalam perbankan dan kewangan Islam untuk membantunya mewujudkan sebuah pusat kewangan Islam.
-- BERNAMA
ah!!berita
Tuesday, October 26, 2010
IBFIM Yakin Hasil Positif Daripada Lawatan Pegawai China
6:07 AM
No Comments



