SEPANG, 28 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas ke Hanoi Rabu malam bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-17 dan sidang kemuncak berkaitan bermula Khamis.
Pesawat khas membawa beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor berlepas dari Kompleks Bunga Raya kira-kira pukul 11.20 malam.
Sidang kemuncak kali ini akan sekali lagi menghimpunkan para pemimpin negara anggota Asean untuk membuat keputusan berhubung isu utama Asean.
Antara agenda terpenting adalah memperakukan penyertaan dua kuasa besar dunia -- Amerika Syarikat dan Rusia -- sebagai rakan rasmi Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang diterajui Asean, pelan induk mengenai kesalinghubungan Asean dan pilihan raya umum Myanmar yang ditetapkan pada 7 Nov ini.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton dan Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov dijadual menghadiri mesyuarat itu selaku pemerhati.
Pemimpin Asean juga dijangka meluluskan deklarasi mengenai pembangunan sumber manusia dan kemahiran untuk pemulihan ekonomi dan pembangunan mapan, serta Deklarasi Hanoi berhubung peningkatan kebajikan sosial dan pembangunan wanita dan kanak-kanak.
Topik lain yang dijadual untuk dibincangkan termasuk bantuan kemanusiaan, keselamatan maritim, pelancongan kebudayaan, perubatan ketenteraan, menjaga keamanan dan keadaan tegang yang wujud baru-baru ini berikutan jerebu di rantau ini.
Terdapat 11 mesyuarat pada sidang kemuncak tiga hari itu, termasuk membabitkan kalangan pemimpin serantau, serta antara pemimpin Asean dan rakan mereka.
Asean dianggotai Brunei, Myanmar, Indonesia, Laos, Kemboja, Filipina, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam .
-- BERNAMA
ah!!berita
Wednesday, October 27, 2010
Najib Berlepas Ke Hanoi Hadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-17
4:51 PM
No Comments



