Wednesday, October 27, 2010

Singapura Lakukan Perubahan Kabinet Berkuatkuasa 1 Nov

SINGAPURA, 28 Okt (Bernama)- - Kerajaan Singapura pada Rabu mengumumkan rombakan kecil barisan kabinet berkuatkuasa mulai Isnin depan.

Satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri petang ini berkata Menteri Undang-undang K Shanmugam akan dilantik untuk juga memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, menggantikan Wong Kan Seng yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Wong sebaliknya akan mengambil alih tugas sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional daripada Prof S Jayakumar yang akan melepaskan jawatan itu untuk kekal sebagai Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri.

Wong akan juga menyelia Bahagian Populasi Nasional dan Bakat, yang akan dibentuk di bawah Pejabat Perdana Menteri bagi menyelaras populasi Singapura dan dasar bakat merentasi pelbagai kementerian.

Kenyataan itu berkata Jayakumar akan terus menyelaras dasar-dasar mengenai perubahan iklim, menyelia hal-hal dasar luar yang merentasi pelbagai kementerian dan bertanggungjawab terhadap isu-isu dasar luar yang melibatkan rundingan perundangan atau penghakiman antarabangsa.

Sementara itu, Pemangku Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian Lui Tuck Yew akan dinaikkan pangkat ke Menteri penuh.

Dua Setiausaha Kanan Parlimen, Dr Amy Khor dan Masagos Zulkifli akan dinaikkan pangkat kepada Menteri Negara dalam kementerian mereka sekarang.

Khor akan kekal di Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air sementara mengekalkan jawatannya sebagai Datuk Bandar Majlis Pembangunan Komuniti Barat Daya dan pengerusi REACH.

Masagos akan kekal di kementerian-kementerian pendidikan dan Hal Ehwal Dalam Negeri.

Dua lagi Setiausaha Parlimen, Sam Tan dan Dr Mohamad Maliki Bin Osman akan dinaikkan pangkat kepada Setiausaha Parlimen Kanan di kementerian masing-masing.

Sam ketika ini Setiausaha Parlimen Kementerian-kementerian Perdagangan dan Industri, dan Penerangan, Komunikasi dan Kesenian, sementara Mohamad Maliki Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Nasional.

-- BERNAMA

ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...