PULAU PINANG 23 Okt. - Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah jenis heroin selepas menggempur sebuah makmal memproses bahan tersebut di sebuah pangsapuri mewah di Lebuh Sungai Pinang, berhampiran Lebuh Raya Jelutong di sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11.45 pagi itu, polis turut menahan dua lelaki tempatan berusia 40 dan 41 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut selain merampas dadah heroin dan 'heroin base' seberat 21.3 kilogram bernilai RM1 juta.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, ketika ditahan, kedua-dua suspek sedang sibuk memproses dadah di dalam rumah tersebut yang dijadikan makmal melakukan kegiatan memproses dadah berkenaan.
Menurutnya, beberapa peralatan memproses dadah termasuk alat pengisar, dulang, penapis, pisau, plastik dan bahan perasa turut dirampas dalam makmal tersebut.
"Kejayaan itu diperoleh hasil maklumat daripada orang awam. Susulan itu, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menyerbu pangsapuri berkenaan yang terletak di tingkat dua.
"Hasilnya, kami menemui dadah jenis heroin yang telah dan belum diproses, peralatan memproses dadah dan beberapa bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan dadah tersebut.
"Turut dirampas, sepucuk pistol jenis Baretta, satu kelopak berisi 13 butir peluru 9 mm, wang tunai RM28,000, AS$500, seutas jam tangan, barang kemas, sebuah komputer riba dan empat buah kenderaan iaitu Proton Waja, Proton Saga, Perodua Kenari dan sebuah motosikal. Kesemua harta yang dirampas dianggarkan bernilai RM168,000," katanya pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Supritendan S. Batumalai.
Menurut Tun Hisan, intipan dan siasatan awal yang dilakukan pihak polis mendapati pangsapuri mewah yang baru dibuka untuk diduduki hampir setahun lalu itu disewa oleh kedua-dua suspek sejak dua bulan lalu.
Mengulas lanjut latar belakang kedua-dua suspek dan kegiatannya itu, Tun Hisan memberitahu, salah seorang suspek yang berusia 41 tahun turut mempunyai empat kesalahan lampau melibatkan kesalahan dadah.
"Siasatan awal polis mendapati dadah yang diproses oleh suspek berkenaan adalah untuk diedarkan di sekitar negeri ini serta negeri-negeri berhampiran.
"Dianggarkan heroin berkenaan jika diasingkan dalam bentuk lebih kecil mampu menghasilkan kira-kira 700,000 tiub dadah. Jika seorang mengambil satu tiub dadah, bayangkan hampir 700,000 penagih akan menjadi mangsa sindiket ini," katanya.
Menurutnya, dua-dua suspek kini ditahan reman sehingga Jumaat depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
ah!!berita
Saturday, October 23, 2010
Polis bongkar makmal proses heroin
11:08 PM
No Comments



