Saturday, October 23, 2010

Pengawal keselamatan mati terkena tembakan

KANGAR 23 Okt. - Pengawal keselamatan yang cedera parah di perut selepas senapang milik rakannya tiba-tiba meletup sewaktu berada dalam van syarikat keselamatan kelmarin, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini malam tadi.
Zakaria Mat, 57, yang berasal dari Mata Ayer, Padang Besar menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 11.18 malam di sisi isteri dan enam anaknya setelah tidak sedarkan diri lebih 24 jam selepas kejadian.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Rahman Noordin ketika dihubungi mengesahkan kematian pengawal keselamatan itu.
Beliau berkata, setakat ini, polis masih menunggu laporan hasil bedah siasat terhadap mangsa sebelum mengambil sebarang tindakan.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari Khamis lalu, Zakaria cedera parah selepas terkena 11 butir peluru penabur senapang milik rakannya yang meletup.
Kejadian berlaku ketika mereka dalam van keselamatan syarikat sewaktu dalam perjalanan untuk memasukkan wang di sebuah bank di sini.
Mangsa dikatakan sudah dua tahun berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat keselamatan di sini.

ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...