GEMENCHEH: Malang bagi seorang bomoh apabila dibelasah dan dilarikan dari rumahnya, di sini, sebelum ditinggalkan dengan hanya berseluar dalam di tepi jalan di sekitar Tangkak, Johor, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, kumpulan lelaki terbabit dikatakan melarikan lelaki berusia 45 tahun berkenaan sejauh kira-kira 100 kilometer sebelum meninggalkan mangsa yang lemah.
Harian Metro difahamkan, sekumpulan lelaki terbabit datang ke rumah bomoh berkenaan di sebuah perkampungan di sini kerana tidak berpuas hati dengan cara rawatan yang dilakukan bomoh terbabit terhadap seorang ahli keluarga mereka.
Bagaimanapun, berlaku pertengkaran dan pergaduhan antara bomoh terbabit dengan kumpulan lelaki itu menyebabkan mangsa dilarikan dengan sebuah kenderaan selepas dibelasah. Bomoh berkenaan yang ditinggalkan di tepi jalan ditemui orang ramai kira-kira empat jam kemudian, berada dalam keadaan separuh bogel yang kemudian menghubungi Balai Polis Tangkak untuk memaklumkan kejadian itu dan mangsa dihantar ke hospital bagi menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, ketika dihubungi mengesahkan polis ada menerima laporan mengenai kejadian terbabit.
“Polis menerima laporan daripada seorang jiran mangsa yang memberitahu terdengar bunyi bising di rumah bomoh berkenaan dipercayai akibat berlaku pergaduhan dan polis yang bergegas ke rumah mangsa mendapati kediaman itu kosong.
Beliau berkata, pihak polis kini sedang menyiasat punca kejadian serta motif pergaduhan itu.
Berikutan itu, beliau meminta kerjasama daripada orang ramai yang melihat atau mengetahui punca kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di talian 06-4411221 atau 06-4411222.
ah!!berita



