Saturday, October 23, 2010

Mat Dugong ditangkap

JOHOR BARU: Kelicikan seorang peragut bermotosikal digelar Mat Dugong Digital berikutan kegemarannya melarikan pelbagai peralatan elektronik daripada mangsa di sekitar bandar raya ini, sampai ke penghujungnya apabila ditangkap polis di rumahnya di Kempas, di sini, pagi kelmarin.
Penjenayah berusia 25 tahun itu yang sering berpakaian seperti pekerja kilang di Singapura dan merayau dengan motosikal Kawasaki Kips untuk mencari mangsa yang keluar bekerja pada awal pagi, dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 50 kes ragut sejak lebih enam bulan lalu.

Menurut sumber, lelaki itu dikenali sebagai Mat Dugong Digital di kalangan rakannya lantaran berbadan besar seperti dugong dan dia dikatakan menggemari peralatan elektronik.

Katanya, dalam serbuan di rumah suspek kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin, polis turut menemui pelbagai barangan berteknologi seperti telefon pintar Iphone, kamera digital berharga RM2,500, komputer bimbit Acer, modem broadband dan pelbagai peralatan elektronik lain.


Menurutnya, susulan tangkapan Mat Dugong, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Jalan Puchung, Taman Perling pada hari sama dan mencekup seorang pemuda berusia 24 tahun disyaki rakan subahatnya dalam kegiatan ragut.

Sumber itu berkata, polis merampas sebuah motosikal, kereta Proton Iswara dan pelbagai barangan disyaki hasil curi, termasuk beg duit, jam tangan dan peralatan elektronik.
Katanya, suspek dipercayai sering merayau dengan motosikal di Jalan Skudai dan sekitar Taman Perling dengan menjadikan orang ramai yang sibuk keluar bekerja pada awal pagi sebagai sasaran.

Penjenayah itu juga dikatakan menjadikan golongan muda berusia 20-an dan 30-an sebagai mangsa berikutan kecenderungan suspek mendapatkan peralatan elektronik berharga dan mempunyai nilai tinggi serta mudah dijual semula di pasaran gelap.

Mereka juga dikatakan gemar menjadikan penunggang motosikal berkuasa rendah yang meletakkan beg di dalam raga sebagai sasaran.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi semalam mengesahkan tangkapan dua lelaki terbabit.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak.


ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...