Saturday, October 23, 2010

Guru, murid bercuti terkena cirit-birit

LANGKAWI: Seramai 60 murid dan 11 guru Sekolah Kebangsaan Taman Senangan, Butterworth, Pulau Pinang yang bercuti di sini dikejarkan ke Hospital Langkawi (HL) kerana cirit-birit dipercayai berpunca daripada makanan yang mereka makan, malam kelmarin.
Kumpulan murid yang sebahagian besarnya berusia 12 tahun dan guru terbabit dihantar ke HL untuk menerima rawatan kecemasan secara berkumpulan menggunakan perkhidmatan teksi, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Seorang guru dari sekolah berkenaan yang enggan dikenali berkata, mereka tiba untuk bercuti di Langkawi tengah hari Khamis lalu dan menginap di sebuah hotel di Kelibang, di sini.

“Sepanjang tempoh itu kami mengambil pakej menginap, makan tengah hari dan bermalam di hotel berkenaan. Justeru, kami mengesyaki kejadian cirit-birit ini akibat makanan disediakan pihak hotel.


“Beberapa murid dan guru mula mengadu sakit perut sekitar jam 11 malam kelmarin. Bagaimanapun, menjelang pagi hampir keseluruhan murid dan guru mengalami masalah sama,” katanya ketika ditemui di perkarangan HL, semalam.

Beliau berkata, tiga daripada murid terbabit dimasukkan ke wad kecemasan untuk menerima rawatan lanjut manakala bakinya dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pesakit luar.
“Keadaan murid yang ditahan di wad kecemasan itu kini stabil dan tidak membimbangkan. Insya-Allah kami akan pulang ke Butterworth hari ini (semalam),” katanya.


ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...