Saturday, October 23, 2010

Taufan Megi gempur China pula

Bencana alam punca 48 terbunuh di Filipina, Taiwan

BEIJING: Hujan lebat dan angin kencang melanda kawasan selatan China semalam, menandakan permulaan taufan Megi selepas ia menyebabkan 48 orang maut di Filipina dan Taiwan.

Televisyen menyiarkan gambar angin kencang menyebabkan pokok tumbang di wilayah Fujian selain menyebabkan papan iklan runtuh manakala ombak besar membadai pantai.
Selain itu, beberapa jalan raya di bandar Zhangzhou, turut dinaiki air. Pusat Kaji cuaca China mengesahkan, Megi sudah tiba dan meminta penduduk tidak keluar.
Bagaimanapun, selepas tiba di China, kekuatan Megi menurun ke tahap ribut tropika dan dipercayai lemah selepas ini.

Taufan itu menyebabkan 36 terbunuh di Filipina. Di Taiwan, 24 masih hilang manakala 12 disahkan maut kerana lumpur dan tanah runtuh.

Di Taipei, pasukan penyelamat Taiwan menemui beberapa serpihan kenderaan rosak dipercayai sebuah bas yang membawa 19 pelancong China yang tertimbus di dalam kejadian tanah runtuh akibat taufan Megi.
Menteri Pengangkutan Mao Chih-kuo berkata bas itu tertimbus sepenuhnya di dalam lumpur. Di sebelah bas terbabit ialah serpihan sebuah lagi bas yang berkecai akibat dihempap batu besar. Bagaimanapun pelancong di dalamnya berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Beberapa bas yang membawa pelancong China itu dalam perjalanan di lebuh raya pesisir pantai Ilan apabila sekurang-kurangya tujuh kejadian runtuhan batu berlaku, manakala laluan sepanjang 500 meter runtuh.

Sembilan belas pelancong China yang diselamatkan dari sebuah bas lain memberitahu wartawan, pemandu bas rakyat Taiwan dan pemandu pelancong China berusaha membantu menyelamatkan mereka tetapi bongkah batu besar tiba-tiba menghempap bas itu menyebabkan mereka terhumban ke dalam gaung bersama kenderaan terbabit.

Runtuhan batu menimbus 30 buah bas, kereta dan van menyebabkan sekurang-kurangnya 400 orang terkandas. Mereka berjaya diselamatkan awal semalam.

Mao berkata, tanah runtuh akibat taufan itu menyebabkan sembilan orang terbunuh dan menimbus sebuah tokong Buddha di daerah Ilan yang paling teruk terjejas dengan jumlah hujan sebanyak 114 sentimeter direkodkan hanya dalam tempoh 48 jam. – AP



ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...