Monday, October 25, 2010

Victoria mahu terus menetap di AS

Victoria Beckham ketika mengulas isu gosip hangat mengenai suaminya di media, baru-baru ini, mendedahkan kehidupan bahagia mereka di Los Angeles.

Bercakap kepada Marie Claire edisi AS, ibu tiga anak berusia 36 tahun itu yang muncul sebagai penghias muka depan majalah berkenaan untuk isu November mendedahkan perasaan sebenarnya terhadap gosip membabitkan suaminya, David Beckham, 35.


Merujuk kepada dakwaan Rebecca Loos yang pernah menjalin hubungan bersama Beckham ketika menjadi pembantu bintang bola sepak itu, Marie Claire menyelami perasaan sebenar ibu tiga anak itu terhadap isu berkenaan.

Bekas penyanyi kumpulan Spice Girls yang dikenali sebagai Posh itu menjawab: “Isu itu sukar dijawab kerana tiada undang-undang yang menetapkan apa yang boleh dimuatkan di Internet atau memastikan anak anda tidak melayari laman web ketika mereka menyiapkan kerja sekolah.”

“Bagi saya yang penting ialah apa yang anak anda baca atau apa yang mereka dengar...anda perlu meneruskan kehidupan atau jika tidak anda boleh jadi gila.”

Temu bual itu berlaku seminggu selepas bintang bola sepak itu dibabitkan dalam kes perceraian pasangan suami isteri yang mempunyai anak belajar di sekolah sama dengan anak Beckham di Los Angeles.

Bagaimanapun, Posh ditemu bual Marie Claire terlebih dulu sebelum kisah itu menjadi isu hangat. Posh juga bercerita tentang kehidupan mereka di LA, di mana mereka tinggal selama tiga tahun dan bagaimana dia selesa hidup di kelilingi bintang ternama Hollywood.

Posh berkata: “Sebelum ini ada gosip mengatakan kami akan berpindah balik ke United Kingdom tetapi kami sangat bahagia di Amerika dan saya tidak nampak ada sebab untuk kami pulang ke UK. Di England, Beckham dan saya cukup dikenali di kalangan masyarakat di sana tetapi di LA kami bukan sesiapa pun. Saya perlu jujur meluahkannya.

“Apabila anda mempunyai jiran seperti Tom Cruise dan Katie Holmes tinggal di seberang jalan, siapa yang akan peduli dengan Victoria dan Beckham?...”

Sementara itu, Victoria turut membela suaminya yang didakwa mempunyai nada suara yang tinggi.

“Saya tidak perasan pun yang David mempunyai intonasi nada suara yang tinggi. Saya rasa dia amat sempurna dan orang sengaja mahu mencari kekurangan suami saya.”

Pereka fesyen itu menambah: “Kami merancang untuk pergi ke satu tempat tempoh hari dan ketika itu Beckham sedang duduk

di hujung katil tanpa pakaian. Saya pula baru keluar dari bilik air sambil berdiri memandang ke arahnya. Dia tetap kelihatan sempurna walaupun kulitnya nampak gelap akibat berjemur dan rambutnya masih kusut masai. Dia sudah lakukan yang terbaik dan saya tidak rasa dia mempunyai nada suara yang tinggi.”

Dalam pada itu, selebriti turut memberitahu, dia mengajar tiga anaknya mengenai kos kehidupan sebaik mereka bangun tidur.

“Saya tuliskan harga di atas semua kotak bijirin sarapan pagi, bungkusan roti dan kotak susu. Saya beritahu mereka, kita akan belajar mengenai duit Amerika pada jam 6 pagi dan ibu mahu kamu membeli sarapan pagi. Kemudian
saya berikan mereka duit mainan daripada permainan Toys’ R’ Us.”

Dia mengakui kadang kala ia merungut ketika melakukan tugas sebagai ibu.

“Anda tahu macam televisyen yang tidak berhenti membuat bising. Saya cuba berfikir dan sering bertanya diri sendiri sama ada saya melakukan cara yang betul ketika mendidik anak,” kata Victoria.

Menurutnya, dia dan Beckham membesarkan anak-anak mereka sama seperti mereka dibesarkan oleh ibu bapa masing-masing. - Agensi


ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...