Monday, October 25, 2010

DEPANMATA: Apa masalah Muallaf?

MALAM tadi berlangsungnya kemuncak Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam. Filem mana diangkat terbaik daripada 29 filem cereka yang bertanding, pastinya menjadi tumpuan selain Pengarah Terbaik dan juga Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik.
Filem Magika sudah mencatat kejayaan besar ketika majlis pembukaan FFM23 Rabu lalu dengan empat anugerah tanpa sebarang keraguan dan persoalan. Diharap apabila empat kategori ini diumumkan, keputusannya juga diterima dengan lapang dada tanpa persoalan layak atau tidak pelakon itu menyandang gelaran yang menjadi impian semua pelakon.

Bukan apa, ketika pengumuman calon Top saja sudah dengar pelbagai komen karyawan seni. Bukan saja mengenai mereka yang disenaraikan ada yang dirasakan tidak layak kerana baru berlakon satu filem, tetapi lebih menjadi pertikaian, ada calon lain yang dirasakan lebih layak tetapi tidak disenaraikan.
Itu pandangan juri umum, tetapi juri yang diberi mandat untuk memilih calon top 5 melihat dari sudut lain pula, mana kita tahu. Untuk Pelakon Wanita Terbaik dibarisi Mislina Mustaffa melalui lakonannya dalam Karaoke, Lisa Surihani (Lagenda Budak Setan), Maya Karin (Pisau Cukur), Jasmine Michael (Estet) dan Putri Mardiana (Santau). Manakala calon lelaki, Bront Palarae (Belukar), Esma Daniel (Santau), Farid Kamil (Lagenda Budak Setan), Syamsul Yusof dan Zul Huzaimy (Haq).
Kategori ini tidak pula dipertikaikan, malah dilihat agak sengit antara Bront, Zul dan Esma. Bagi Zul yang bertanding melalui filem Haq yang bakal ditayangkan kepada umum 27 Januari 2011, tidak mampu memberi dua pencabar utamanya tetapi memilih Bront, Farid dan Esma.

Isnin lalu, saya tidak melepaskan peluang menghadiri sidang media FFM23 untuk tajaan Rafflesia The Pearl Centre untuk artis wanita yang menyampaikan anugerah, membuat persembahan atau pun hadir di permaidani merah.
Mereka yang bertuah menggayakan pakaian rekaan Rizman Ruzaini bersama aksesori mutiara Rafflesia ialah Diana Danielle, Vanidah Imran, Liyana Jasmay, Sharifah Amani, Farah Asyikin, Sharifah Shahira dan juga Nasha Aziz.


Pastinya perbualan mengenai calon top 5 Pelakon Wanita Terbaik menjadi topik hangat diperbincangkan di kalangan pelakon yang hadir. Vanidah meramalkan Mislina kerana kehebatan pelakon teater itu dan sering menjadi pilihan pengarah Yasmin Ahmad dalam filemnya.

Bagaimanapun, lain pula ceritanya dengan produser yang menghasilkan filem mengenai kisah hidup penyanyi Zaiton Sameon kerana lakonan Mislina sebagai penyanyi kontroversi era 80-an itu tidak menepati citarasanya hingga mahu buat semula penggambaran bersama pelakon dan pengarah baru.
Tentu bukan sikit-sikit rasa tidak puas hati produser kerana sanggup hanguskan bajet asal dengan buat pelaburan baru. Dari segi penampilan, sememangnya sukar untuk Mislina mencuri tumpuan kerana masyarakat masih memandang paras rupa. Kalau tidak jelita, penampilan seksi pun boleh diterima. Tapi kalau bakat semata-mata, sukar sedikit untuk diterima walau hebat macam manapun lakonannya. Itulah penangan mata namanya.
Waktu sama, Vanidah terkilan kerana nama Amani tidak disenaraikan melalui lakonannya dalam Muallaf. Amani juga enggan mengulas calon FFM23, malah menyatakan tidak akan hadir pada malam kemuncak itu.
Tidak tahulah mengapa barisan juri tidak tertarik langsung dengan buah tangan terakhir Yasmin Ahmad itu hingga tidak lekat satu pencalonan pun. Hairan bin ajaib juga. Siapa pun diumumkan malam tadi, tahniah semoga terus memeriahkan dunia seni tanah air dengan lakonan lebih mantap.

Namun debaran petang itu lebih dirasakan ketika menanti ketibaan Nasha. Jika artis lain sudah muncul sebagaimana undangan jam 3 petang, kelibat Nasha belum kelihatan jam 4 petang. Puas menunggu tapi kerana jaminan Bill Bora yang mengaturkan majlis itu bahawa Nasha dalam perjalanan, semuanya sabar menanti.

Apakah masalah Nasha hingga lewat lebih sejam? Kalau kesesakan lalu lintas menjadi alasan, mengapa yang lain mampu tiba awal? Selepas puas menanti, semua mata akhirnya bertumpu kepada Nasha yang muncul dengan gaun merah ala pengantin. Dia terus menjadi tumpuan jurugambar yang menantinya.

Dengan gaya manjanya dan trademark Nasha di pentas catwalk melibas gaun labuhnya, hilang semua kemarahan menanti lebih sejam. Apabila ada yang bertanya Nasha mengapa lewat lebih sejam, jawab Nasha, dia hanya lewat setengah jam saja kerana dia diundang jam 4 petang.

Apa yang pasti, petang itu Nasha memang mencuri tumpuan bukan saja kerana kejelitaannya malah gayanya. tambah pula pelakon Trauma itu agak jarang muncul dalam majlis akhir-akhirnya hingga ramai menanti kesempatan itu untuk mengetahui berita terbaru dirinya.
Ramai ingin tahu apa cerita mengenai rancangan untuk berkahwin yang sebelum ini dikatakan bakal berlangsung pertengahan tahun, tetapi 2010 bakal melabuhkan tirai dan 2011 pula bakal menjelang tiba. Ternyata Nasha berteka-teki mengenai hari bahagianya dengan buah hati, Iman Tang Abdullah.
Sudah tentu selepas ini apabila Nasha muncul dalam mana-mana majlis, persoalan ini terus ditanya. Kalau artis terus berteka-teki, perkara itu akan terus menarik minat untuk ditanya. Begitulah antara strategi artis untuk menarik perhatian media.


ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...