Monday, October 25, 2010

Mistik Ulek Mayang di TV3

JIKA Kelantan megah dengan wayang kulit, Terengganu pula cukup sinonim dengan Ulek Mayang.
Malah, sebut saja mengenai Ulek Mayang, ia terus menggambarkan kisah puteri dari alam bunian.

Sehubungan itu, bermula hari ini, Isnin penonton setia TV3 akan berpeluang menyaksikan drama Ulek Mayang arahan pengarah berkaliber, Rashid Sibir menghiasi slot Lagenda yang ke udara setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang. Menyorot perjalanan cerita drama Ulek Mayang karya Rashid itu, ia membariskan pelakon hebat seperti Fezrul Khan, Elly Mazlein, Mariani Ismail, Fizo Omar dan Sabrina Ali. Drama ini akan disiarkan selama 20 episod. Diterbitkan produksi Rashbir Media Sdn Bhd, lokasi penggambarannya dilakukan di Terengganu untuk mewujudkan suasana kampung nelayan yang mengamalkan kepercayaan mistik zaman dulu. Kajian dibuat agar hasilnya memuaskan. Ini termasuklah dalam menghasilkan busana Puteri Kayangan yang mempesonakan bersama tarian Ulek Mayang oleh Elly Mazlein. Mampukah Elly lakukan? Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama TV3 & TV9, Nurul Aini Abu Bakar berkata slot Lagenda cukup mendapat sambutan baik di kalangan penonton dua stesen yang menyiarkannya iaitu TV3 dan TV9 (ulangan jam 8.30 malam).

"Saya dapati penonton suka dengan paparan cerita berwarna-warni, kisah rakyat, dongeng, legenda dan mitos. Kini tarian Ulek Mayang yang popular di Terengganu mencetuskan ilham kepada Rashid untuk menghasilkan drama TV pula.


"Sekalipun, ia mengenai cinta terlarang antara dua dunia ini, apa yang membuatkan ia menarik adalah tarian Ulek Mayang yang diubah suai. Ia tidak lagi seperti tarian untuk upacara pemujaan seperti zaman dulu," katanya.

Kata Nurul Aini, Ulek Mayang sentuhan Rashid lebih ke arah ajaran Islam.
Ulek Mayang mengisahkan Ali lakonan Fezrul sebagai nelayan yang sering diganggu dengan bayangan puteri di persisiran pantai. Bagaimanapun, Ali hanya mendengar suara gurau senda, tetapi tidak pernah melihat wajah puteri itu.

Semakin hari, bayangan puteri itu semakin menghantui Ali. Justeru, Ali sering ke pantai untuk mencari puteri itu. Malah, dia dapat merasa kehadiran puteri di dalam mimpi kerana bilik tidurnya mula berbau wangi.

Melihatkan keadaan Ali, ibunya, Mariam (Mariani) semakin risau kerana anaknya seperti orang angau.

Sebenarnya, Ali pernah bertembung dengan Puteri Mayang Sari (Elly Mazlein) dan sejak itu Ali selalu menyeru nama Puteri Mayang Sari. Kali pertama bertentang mata mereka terus jatuh cinta. Namun, pada masa sama Puteri Mayang Mengurai (Sabrina Ali) juga menyimpan perasaan terhadap Ali. Jadi, dia cuba mengabui mata manusia supaya melihat Mayang Sari sebagai 'hantu.'


ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...