Monday, October 25, 2010

Maya Karin bukan lagi pengacara Nona

DALAM memastikan program disiarkan terus menambat hati penonton, rancangan atau pengacara yang gagal menaikkan rating akan menghadapi risiko untuk direhatkan atau digantikan dengan orang lain.
Begitulah nasib yang dihadapi beberapa program realiti dan juga rancangan popular di TV3, ntv7, 8TV dan TV9 dalam usaha memastikan mereka terus berada di atas dalam persaingan dengan stesen lain.

Apa yang membanggakan sepanjang 2010, empat rangkaian televisyen di bawah Media Prima Berhad (MPB) yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Seri Farid Ridzuan membuktikan mereka mempunyai peminat setia yang menonton dan menyokong program yang ditayangkan.

Program realiti Mentor musim ketiga mencatat perangkaan cukup membanggakan apabila mencecah 3 juta penonton hingga program yang menyaksikan gandingan artis popular bertindak sebagai mentor untuk membimbing bakat baru (protege). Begitu juga Showdown di 8TV mendapat perhatian membanggakan daripada penduduk urban manakala Akademi Al-Quran (TV9) di kalangan penontpn Melayu.


Untuk 2011, tiga program ini diteruskan berbanding progran realiti lain seperti One In A Million (8TV) dan Gangstarz (TV3). Manakala program Nona bakal bertukar pengacara apabila Maya Karin yang diberi mandat tahun ini dikatakan gagal menaikkan rating bagi program popular di kalangan penonton wanita itu. Sebelum Maya, program itu dikendalikan Fiza. Pencarian pengacara baru sedang giat dilakukan dan mungkin mengambil artis popular dalam usaha menambat semula penonton. Kata Farid, pihaknya cuba mengambil pelakon popular seperti Maya Karin menggantikan pengacara sebelum ini dalam usaha mengembalikan kegemilangan program yang pernah mendapat rating tinggi ketika dikendalikan Normala Samsudin.

"Selepas setahun, nampaknya rating program itu tidak meningkat dan kita perlu lakukan sesuatu seperti menukar pengacara. Perubahan baru ini juga disebabkan Maya Karin banyak komitmen lain apabila mendapat banyak tawaran berlakon dan tidak adil untuk kita mengikat rezekinya. "Apa yang kita lakukan untuk 2011 ialah setiap stesen mempunyai program realiti yang berjaya mendapat sambutan seperti Mentor dan Showdown. "MPB berharap lebih banyak program realiti diterbitkan pada masa akan datang. Begitu juga, nasib artis realiti ini sebenarnya belum 'berkubur', tetapi bakat mereka diserap ke dalam program lain.
"Apa yang penting, kami mahu mereka mengekal jangka masa mereka agar terus berada dalam bidang seni ini," katanya pada sidang media selepas acara MPB Television Networks Screenings 2011 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Sidang media itu turut dihadiri Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar ntv7, Airin Zainol dan Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin. Sebagai stesen swasta berpengaruh di bawah konglomerat MPB, TV3 tidak ketinggalan memberi fokus pada program lain seperti drama untuk tarikan penonton.

Drama yang membawa tema cinta, kuasa, kesetiaan dan berkonsep epik iaitu Nilapura manakala Cintaku 120km/j mengisahkan mekanik jatuh cinta pada gadis kaya menjadi sandaran baru. Sentuhan Kabir Bhatia yang pernah mencipta fenomena di TV3 menerusi Nur Kasih diharapkan pula menerusi siri Juvana yang mengisahkan remaja bermasalah dihantar ke sekolah khas. Begitu juga, program Amekaw! menampilkan konsep permainan yang diperkenalkan menerusi segmen Bang Bang Boom! musim keenam dijadikan program sendiri.

Tidak terkecuali, program majalah seperti Majalah 3, 999, Bersamamu, KES, Nona dan 360 masih dikekalkan. Ini termasuk program Melodi, Muzik-Muzik, Jalan-Jalan Cari Makan, Jangan Tidur Lagi dan Fuhhh! terus menemui penonton. Menariknya, siri animasi terbaru, Stitch!, Amazing Spiez dan program tiga dimensi (3D) tempatan pertama iaitu Boboi Boy! ditayangkan menerusi TV3.

Menerusi 8TV, program realiti Showdown yang mencungkil bakat dalam bidang tarian turut diteruskan untuk musim baru selepas mencatat kejayaan pada musim pertama lalu. Ini juga bermakna OIAM berehat tahun depan.

8TV terus memberi fokus kepada drama popular seperti The Vampire Diaries, Gossip Girl, Criminal Minds, Desperate Housewives, NCIS, NCIS LA dan 10 Things I Hate About You. Tarikan juga pada acara anugerah berprestij seperti American Music Awards, Teen Choice Awards, MTV Movie Awards, MTV Video Awards dan program realiti, American Idol musim ke-10 kembali bersiaran.

Drama terbaru dari Hollywood iaitu Hellcats, Pretty Little Liars, program masakan, Best In The World, Tales of Darkness, program kembara, Bantai Asia dan Shout! Awards turut akan menemui penonton. Peminat drama Korea, jangan lepaskan peluang menyaksikan drama terbaik yang mencatat rating tinggi seperti He's Beautiful, Personal Taste, Dong Yi, The Fugitive: Plan B dan Bread, Love & Dreams akan ditayangkan tidak lama lagi. Bagi penonton setia TV9, program hiburan Galaksi akan disambung semula bersama program terbaru, Mangkuk Tingkat berkongsi dengan penonton mengenai masakan istimewa dimasak selebriti serta program bual bicara baru berkonsep hiburan, Alahai.

Musim terbaru, Akademi Al-Quran juga akan menemui penonton bersama program baru, drama 6 Progresif dan Khatulistiwa. Program kartun seperti Upin & Ipin, Pokemon Diamond & Pearl, Spongebob, Fan Boy dan Chum Chum terus ditayangkan.

Saluran Ceria Anda, ntv7 pula menawarkan program terbaik untuk skop penonton Cina. Ini merujuk pada seleksi drama TVB dari Hong Kong seperti E U, Born Rich, Sweetness In The Salt, A Greatest of A Hero dan The Threshold of A Persona. Musim baru drama Hollywood iaitu V, Grey Anatomy, Private Practice, Lie To Me, The Mentalist, Bones, Fringe, American Gladiators dan Survivor juga menjadi sandaran termasuk program bual bicara terbaru, Bella.

Farid berkata, pengurusan dan produksi untuk setiap stesen di bawah MPB melakukan banyak kajian dalam menyedia program berkualiti dan terbaik untuk kepuasan penonton.

Memberi tarikan baru, pengenalan portal, www.tonton.com.my dilancarkan Ogos lalu meraih sambutan positif penonton. Berdasarkan penguasaan 49 peratus skop penonton menerusi rangkaian TV MPB, portal ini turut memaparkan program berkualiti yang ditayangkan.

Sebelum itu, penonton terdiri dari wakil media, pengiklan dan juga karyawan seni dihidangkan dengan program menarik empat stesen ini melalui persembahan menarik daripada Farid untuk TV3 dan TV9 dan juga Ahmad Izham Omar (8TV dan ntv7). Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Amrin Awaluddin.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran dua bintang dari Hong Kong, Michael dan Michelle serta manakala acara penutup persembahan Farid dan Izham bersama penari mengiringi lagu Michael Jackson.


ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...