Saturday, October 30, 2010

TV Internet kembali

JIKA anda masih ingat kira-kira 15 tahun lepas apabila Internet semakin terkenal di negara ini, ramai yang menyatakan tidak dapat menggunakan perkhidmatan itu kerana harga komputer peribadi (PC) agak mahal untuk dimiliki oleh semua golongan masyarakat.

Maka, syarikat-syarikat elektronik berusaha menjadikan televisyen (TV) sebagai medium untuk melayari Internet kerana hampir semua penduduk di negara ini mempunyai produk tersebut di rumah.
Bagaimanapun, usaha itu tidak terlalu berjaya kerana teknologi ketika itu masih belum mampu menyuaipadankan teknologi Internet dengan TV yang seterusnya menjadi pelayaran Internet di TV agak membosankan.

Kini usaha itu kembali dengan pelbagai syarikat cuba menjadikan kembali TV sebagai medium pemaparan Internet dan menggabungkan pelbagai elemen multimedia yang lain.
Syarikat penyedia enjin pencari, Google misalnya baru-baru ini turut berusaha menyediakan platform untuk membolehkan penggunaan TV sebagai medium Internet dengan pengenalan konsep Google TV.

Melalui Google TV, pengguna boleh melayari Internet dan menonton video kegemaran, bermain permainan berformat flash di Internet, melihat foto, bersembang secara maya dan sebagainya - pada skrin TV yang besar tersebut.

Selain penyedia kandungan, Google juga mengadakan kerjasama dengan pembekal perkakasan seperti Sony yang memperkenalkan TV Internet dengan pemain Blu-Ray serta Logitech yang mengeluarkan peralatan sokongan seperti kotak set-top, papan kekunci dan alat kawalan jauh.

TV Sony

Sony baru-baru ini telah memperkenalkan TV Internetnya yang menyokong Google TV di pasaran Amerika Syarikat (AS) dengan harga antara RM1,870 dan RM4,360.

Naib presiden kanan Sony bahagian perniagaan TV, Yoshihisa Ishida berkata, syarikatnya merancang untuk memperkenalkan TV tersebut di pasaran dunia jika berjaya mendapat sambutan di AS.
TV Internet tersebut boleh memaparkan program-program TV biasa dan juga mengakses laman-laman web di Internet termasuk memaparkan video dari YouTube.

Pengguna juga boleh menggunakan enjin pencari Google seperti di komputer dan pada masa yang sama boleh menonton siaran di TV seperti biasa.

Menurut Sony, kelebihan Google TV ini adalah aplikasi Internet dan mengakses siaran televisyen boleh dilakukan dengan mudah kerana ia dipancarkan selari.
Perkakasan Logitech

Bagi menyokong usaha Google, Logitech baru-baru ini telah mengumumkan suarikatnya telah memperkenalkan set produk yang membolehkan pengguna mengakses Google TV.

Set tersebut termasuk kotak set-top, papan kekunci khas, kamera definasi tinggi yang boleh diletakkan di atas televisyen HD dan aplikasi yang boleh menukar iPhone, iPad atau peranti Android menjadi alat kawalan jauh.

Pengguna yang telah melanggan perkhidmatan TV satelit atau jalur lebar boleh menyepadukan program itu dengan Google TV dan seterusnya menjadikan kesemua program itu boleh dicari dengan satu enjin pencari.
Perkakasan dikenali sebagai Revue itu akan dihubungkan melalui HDMI kepada televisyen yang juga dihubungkan kepada sistem jalur lebar dan juga siaran satelit TV.

Akses dan kawalan interaksi dengan TV tersebut boleh dilakukan menggunakan papan kekunci wayarles yang dihubungkan ke kotak set-top.

Papan kekunci itu mempunyai reka bentu QWERTY dan mempunyai pad sesentuh seperti yang terdapat pada komputer riba.

Butang-butang yang terdapat pada papan kekunci itu boleh juga mengawal televisyen, penerima audio video (AV) dan perakam video digital (DVR).

Antara fungsi menarik yang dilakukan pengguna ialah menggunakan mod dua pemaparan yang mana mereka boleh melayari Internet sementara pada masa yang sama menonton televisyen.

Penggunaan kamera TV pula akan membolehkan pengguna melakukan sidang video dengan saudara mara atau rakan-rakan mereka yang jauh.

Kotak set-top Revue yang digabungkan dengan papan kekunci akan dipasarkan dengan harga RM930, alat kawalan mini RM400 dan TV Cam dengan harga RM460.



ah!!berita

135 hilang 'hidup semula'

JAKARTA 30 Okt. - Seramai 135 mangsa tsunami di kepulauan Mentawai yang disenaraikan hilang dan dikhuatiri maut sebelum ini, ditemui selamat di sebuah kawasan tanah tinggi.

"Petugas penyelamat menemui mereka di tanah tinggi di pulau Pagai Utara," kata pegawai pengurusan bencana, Agus Prayitno, sambil menambah bilangan mangsa yang hilang kini berjumlah 163 berbanding 298 orang sebelum ini.

Katanya lagi, jumlah korban bagaimanapun kekal pada 413 orang.
Pegawai pengurusan bencana di pulau Pagai Utara, Joskamatir berkata, semua mangsa yang ditemui terlalu takut untuk meninggalkan hutan di kawasan bukit itu kerana bimbang tsunami akan berlaku lagi.

"Kami mengambil masa berhari-hari untuk mengesan mereka kerana mereka tidak mahu pulang ke kampung dengan alasan bimbang tsunami akan melanda lagi," katanya lagi.

Pegawai bencana sebelum ini tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menemui lebih ramai mangsa yang hilang, berdasarkan satu tinjauan udara awal minggu ini yang mendapati banyak mayat bergelimpangan di sepanjang pantai serta tersangkut di bawah runtuhan dan pokok-pokok.

Sementara itu berkaitan dengan bencana letusan Gunung Merapi, penduduk Yogyakarta panik apabila bandar itu pula dihujani debu dan pasir dari gunung berapi itu atau dikenali sebagai 'Wedhus Gembel', yang meletus sejak 12.40 pagi tadi dan berterusan sehingga petang ini.

Ia menyebabkan orang ramai di ibu kota lama kira-kira 40 kilometer dari Merapi ini, sukar bernafas, pening serta menyebabkan mata pedih.

Ledakan selama kira-kira 20 minit itu dapat didengari sejauh 14 kilometer, menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menggunakan anggota Komando Pasukan Khusus (Kopasus) bagi memaksa baki penduduk yang berdegil untuk kekal di sana agar berpindah.

Letusan terbaru turut meragut satu lagi nyawa, menjadikan jumlah mangsa meningkat kepada 36 orang dengan langit menjadi gelap gelita.

Lapangan Terbang Adi Sucipto di sini juga ditutup beberapa jam sebelum dibuka kembali.
Dalam pada itu pelajar Malaysia yang berada di sini dilaporkan selamat dan mereka tidak ke kelas kerana cuti dan dinasihatkan memakai topeng muka dan mengurangkan aktiviti luar.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr. Junaidy Abu Bakar berkata, petugas dari Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia mengedarkan topeng muka dan ubat titisan mata kepada para pelajar terbabit.

"Setakat ini pihak berkuasa tempatan memaklumkan debu itu tidak merbahaya, tetapi jika wap panas dan lava sampai ke Yogyakarta, kita akan bawa pulang semua pelajar ke Malaysia.
"Pelajar juga dilarang menyertai pasukan sukarelawan sehingga diberitahu kelak," katanya. - AFP/Utusan


ah!!berita

Keluarga dakwa 'bas buruk'

BALING 30 Okt. - Keluarga tujuh mangsa yang maut dalam kemalangan bas pelancongan di kilometer 38 Genting Sempah dekat Kuala Lumpur malam tadi, mendakwa bas yang dinaiki mangsa adalah bas buruk dan bukannya bas yang dijanjikan syarikat terbabit sebelum ini.

Kebanyakan anggota keluarga ditemui di Kampung Baru, Mukim Siong reda dengan kejadian itu tetapi kesal kerana pihak syarikat bas berkenaan tidak menunaikan janji seperti yang dibuat.

Mustaffa Ibrahim, 60, berkata, keluarganya menerima kejadian yang menimpa anaknya Mohd. Fahmi, 17, sebagai takdir tetapi kesal apabila mendapat tahu bas yang sepatutnya membawa rombongan itu digantikan dengan bas buruk.

"Saya reda dengan ketentuan Ilahi tetapi kesal kerana bas yang naiki itu bukan bas yang dijanjikan pihak syarikat bas itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Dalam kejadian 7.50 malam tadi, sebuah bas yang membawa 44 anggota Belia 4B dari Kampung Baru Siong terbabit dalam nahas ketika menuruni bukit selepas bertolak dari Genting Highlands.

Mustaffa berkata semua mangsa yang maut mempunyai hubungan keluarga antara satu sama lain.
Beliau yang juga seorang imam di sebuah masjid di sini berharap kejadian itu tidak berulang lagi dan mahu pihak berkuasa memantau setiap rombongan bagi mengelak kejadian serupa tidak berulang.

Seorang lagi bapa mangsa, Husin Hamid, 54, berkata, beliau kesal apabila mengetahui bas yang dinaiki anaknya Mohd. Ridzuan menghadapi masalah sehingga meragut nyawa anaknya itu.

Beliau menyerahkan sebarang tindakan terhadap syarikat bas berkenaan kepada pihak yang terlibat untuk mereka mencari keadilan dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Siong (SMKS) Azizah Hussain, 32, yang ditemui di rumah keluarga seorang mangsa terbabit berkata, beliau terkejut apabila mendapati semua pelajar yang terbunuh, pernah menjadi anak muridnya sebelum ini.

"Saya amat terkejut dengan kejadian yang berlaku dan tidak menyangka sama sekali mangsa yang maut adalah pelajar-pelajar yang pernah saya ajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Siong," katanya.

Persiapan untuk mengkebumikan tujuh mayat mangsa kejadian itu sudah pun disiapkan di Tanah Perkuburan Kampung Baru, Siong, dengan menggunakan jentolak untuk mengkebumikan tujuh mayat terbabit dalam satu liang lahat.

Setiausaha UMNO Bahagian Baling, Abdullah Sani Mahmud berkata, semua urusan persiapan bagi membawa pulang jenazah ke Baling diuruskan oleh Jabatan Belia dan Sukan. - BERNAMA


ah!!berita

Nia Ramadhani tukar nama

PELAKON drama popular Bawang Putih Bawang Merah dan Cinta Kirana, Nia Ramadhani baru-baru ini dilaporkan mahu menukar namanya.

Isteri Ardiansyah Bakrie itu memberi alasan dia mahu menukar nama sebagai satu penghormatan kepada suami dan keluarga barunya itu.

“Saya mahu menukar nama kepada Ramadania Ardiansyah Bakrie. Biar mudah menguruskan dokumen-dokumen penting, pasport dan bertukar sijil kelahiran. Lagipun, sudah sewajarnya sebagai isteri yang baik harus mengikut suaminya,” katanya.

Dalam pada itu, Nia juga dikatakan sudah merancang untuk mengadakan kenduri kesyukuran sekiranya hasrat menukar nama itu diluluskan.


ah!!berita

Chelsea selesa terajui liga

BLACKBURN, England - Jaringan babak akhir perlawanan menerusi Branislav Ivanovic, menyaksikan Chelsea menewaskan Blackburn 2-1, semalam untuk kian selesa di teratas Liga Perdana England.

Ivanovic menjaringkan gol enam minit sebelum tamat untuk membawa pasukan dari London itu menyambar tiga mata, setelah anak buah Carlo Ancelotti bangkit daripada ketinggalan di Ewood Park.

Nicolas Anelka menyamakan jaringan Blues, selepas Benjani Mwarurwari membawa Blackburn mendahului hasil hantaran Mame Diouf dan kelewatan pemain Chelsea mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Tandukan Alex Song pula memastikan Arsenal menang 1-0 ke atas pasukan tercorot, West Ham dan terus memberi tekanan kepada Chelsea.

Ketika Arsenal dan Chelsea meraikan kemenangan, pasukan di tangga keempat, Manchester City mengharungi minggu malang, apabila kalah 1-2 kepada Wolves.

Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut City setelah tewas 0-3 kepada Arsenal, Ahad lalu.
- AGENSI


ah!!berita

Kehilangan Aidil punca Negeri Sembilan kecundang

KUALA LUMPUR - Kehilangan bek tengah yang juga ketua pasukan, Aidil Zafuan Radzak dan kegagalan dua pemain muda menunaikan harapan tinggi, dirumuskan sebagai faktor utama tersungkurnya Negeri Sembilan dalam mempertahankan Piala Malaysia musim ini, semalam.

Tanpa menyembunyikan kecewa namun akur dengan kemampuan Kelantan menyambar kesempatan tersebut, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan menganggap Aliff Samsuddin dan Qhairul Anwar Roslani tidak dapat bermain seperti prestasi terbaik mereka sebelumnya.

"Prestasi Negeri Sembilan kali ini tidak seperti perlawanan akhir tahun lalu terutama apabila barisan pertahanan goyah setelah Aidil Zafuan tercedera lalu kesempatan ini diambil sepenuhnya oleh Kelantan dalam babak kedua," katanya selepas perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang dimenangi lawan 2-1.

"Perlawanan ini jelas menunjukkan dua pemain muda harapan kami tidak menunjukkan prestasi sebenar mereka tetapi saya tetap memuji aksi keseluruhannya kerana kami masih mampu mara hingga ke perlawanan akhir di sebalik pelbagai masalah yang melanda khususnya kecederaan tonggak," katanya.
Gol kemenangan Badri Radzi yang menyusuli tandukan penyamaan Hairuddin Omar sekali gus menenggelamkan jaringan penalti Shahurain Abu Samah itu turut meranapkan harapan dan impian Wan Jamak mencipta rekod dalam kariernya dengan membawa Si Rusa merangkul gelaran berganda selepas menjulang Piala FA, April lalu.
Malah setelah kehilangan penyerang Zaquan Adha Radzak sejak Ogos lalu kerana kecederaan lutut, kehampaan jurulatih Negeri Sembilan itu akibat terkeluarnya abang kembarnya, Aidil Zafuan Radzak pada pertengahan permainan, pasti dikongsi jurulatih negara, K. Rajagobal dalam menyediakan pasukan ke Sukan Asia, bulan depan.

Negeri Sembilan juga sebenarnya mampu beroleh satu lagi gol sekiranya tonggak depan seniornya, Idris Karim mampu menyudahkan peluang depan gol dengan satu tolakan kaki yang lebih deras untuk menghampakan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang hanya bersendirian pada babak pertama.
Namun Wan Jamak wajar turut berbangga dengan sumbangan sayap kanannya, S. Kunanlan yang banyak menggerakkan serangan Si Rusa dan mencipta lorongan tepat dan membuat larian yang menghuru-harakan kubu Kelantan untuk menyokong penyerang bidan terjun mereka, Shahurain dan Idris.

Tidak keterlaluan jika anak jati Semenyih ini sebenarnya mampu dijulang sebagai wira mahupun pemain terbaik jika Negeri Sembilan yang mengulangi kejayaan memiliki piala berprestij bola sepak negara dalam edisi ke-44 perlawanan akhir ini seperti ketika mereka menang 3-1, tahun lalu.

Namun corak pantas dan kemantapan pada semua bahagian turut memainkan peranan dalam kejayaan gilang-gemilang dan bersejarah Wira Merah ini selain sokongan padu ribuan penyokong mereka dan gaya kepimpinan tersendiri Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.


ah!!berita

Brek tak makan...!

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Pemandu bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan tujuh penumpang di Kilometer 38 Genting Sempah berhampiran susur ke Genting Highlands dekat sini malam tadi, disahkan tidak memiliki lesen memandu.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Hussin Omar berkata, polis dimaklumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bahawa pemandu berusia 40-an itu tidak mempunyai lesen memandu selepas membuat semakan.

Beliau berkata, lelaki terbabit sebelum ini mengaku kepada polis bahawa dia mempunyai lesen memandu namun semakan dengan JPJ menunjukkan sebaliknya.

“Sehubungan itu, kita telah menahan pemandu terbabit untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara merbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

 “Di bawah seksyen ini, pemandu terbabit boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Che Hussin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pemandu bas itu memandu laju sebagai punca kemalangan.

“Kita belum lagi mengambil keterangan daripada saksi-saksi kemalangan yang terselamat kerana keadaan belum mengizinkan memandangkan ramai masih tidak stabil dan trauma.

“Selain itu, kita masih menunggu laporan kotak hitam dan pemeriksaan fizikal bas daripada Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd.),” katanya.

Beliau berkata, selain pemandu, pengusaha syarikat bas persiaran terbabit turut boleh dikenakan tindakan jika membenarkan pemandu tiada lesen membawa kenderaan mereka.

“Selain itu, tindakan juga boleh dikenakan jika membenarkan bas yang mempunyai masalah teknikal untuk beroperasi,” ujar beliau.


ah!!berita

Kelantan juara baru

KUALA LUMPUR – Sejarah tercipta dan dendam terbalas, malah temasya besar berhak dirayakan oleh Kelantan apabila menjulang anugerah berprestij bola sepak negara, Piala Malaysia buat kali pertama setelah menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir edisi ke-44, semalam.

Malah Wira Merah mengakhiri penantian yang sekian lama selepas dihampakan dalam perlawanan akhir 1955, 1970 dan tahun lalu sekali gus mengekori Perak, Selangor, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Kuala Lumpur, Kedah, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan sebagai 11 negeri pemilik Piala Malaysia sejak 1967.

Gegak gempita sorakan serta dentuman mercun melanda Stadium Nasional, Bukit Jalil yang menyambut kejayaan skuad bimbingan B. Sathianathan menebus kehampaan 3-1 kepada lawan dan di gelanggang sama tahun lalu, hasil jaringan Hairuddin Omar dan Badri Radzi.

Sebaliknya Negeri Sembilan terlepas peluang untuk merangkul gelaran berganda musim ini selepas Piala FA, April lalu biarpun mengejutkan lawan dengan sepakan penalti penyerang bidan terjun, Shahurain Abu Samah pada babak pertama.

Malah mereka mampu mendahului lebih awal andainya penyerangnya, Idris Karim lebih kuat menyepak umpanan lambung S. Kunanlan dari sebelah kanan, ketika cuma berdepan Khairul Fahmi Che Mat, yang sempat menyambut tolakannya pada minit keenam.

Dalam satu serangan balas pantas yang dilancarkan Kunanlan minit ke-12, Kelantan tergamam sehingga penjaga golnya, Khairul Fahmi terpaksa membentes sayap kanan Negeri Sembilan dan menghadiahkan sepakan penalti buat juara bertahan.

Biarpun diarahkan pengadil Subkhiddin Salleh supaya mengambil semula sepakan penalti yang berjaya disudahi, Shahurain Abu Samah tetap tenang menolak ke kiri gawang Kelantan untuk mencipta gol pembukaan Si Rusa, seminit kemudian.

Namun, Si Kijang masih tidak mahu mengalah, setelah rembatan jauh Zairul Fitree Ishak tersasar tinggi pada minit ke-11, Badri Radzi pula terlepas menyamakan kedudukan apabila rembatannya sempat disekat bek tengah lawan, Shukor Adan pada minit ke-35.

Enam minit kemudian menyaksikan kehampaan berterusan Idris gara-gara dipersalahkan pengadil ketika cuba menyambut umpanan lambung Ching Hong Aik dengan tandukan walaupun, hanya perlu mengatasi Khairul Fahmi yang sempat mendakap bola.

Tiga minit masa kecederaan turut merakamkan kegagalan percubaan sayap kanan Wira Merah, Nor Farhan Muhammad dalam kotak penalti sementara rembatan jauh ketua pasukan Indra Putra Mahayuddin pula berjaya ditepis penjaga gol Si Rusa, Sani Anuar Kamsani.

Dalam dua minit babak kedua bersambung, Kelantan kian garang memburu gol penyamaan, namun kedua-dua percubaan Badri dan Hairuddin Omar sekadar mencemaskan Sani Anuar tetapi belum dapat menembusi kubu terakhir pasukan bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu.

Gol penyamaan idaman Wira Merah tiba juga pada minit ke-57 hasil umpanan lambung Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kanan yang cukup tepat disudahi dengan tandukan kencang Hairuddin tanpa mampu digapai Sani Anuar lagi.

Bersemangat tinggi dengan gol itu, Kelantan mengasak lagi, lalu Badri menggembirakan dan menghadiahkan majoriti hadirin Stadium Nasional yang membentuk Lautan Merah dengan jaringan kedua minit ke-64 setelah mendapat lorongan Nor Farhan dari belakangnya.

Wira Merah beroleh satu lagi peluang keemasan setelah penyerang gantian, Akmal Rizal Rakhli dikasari Alif Shamsuddin tetapi sepakan bebas Indra Putra menghampakan pasukan dan peminat mereka kerana melewati palang gol pada minit ke-83.

KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Daudsu Jamaludin (Akmal Rizal Rakhli), Farisham Ismail, Rizal Fahmi Rosid, Zairul Fitree Ishak, Nor Farhan Muhammad, Badri Radzi, Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha (S. Chanturu), Hairuddin Omar.

NEGERI SEMBILAN: Sani Anuar Kamsani, Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad, Shukor Adan, Aidil Zafuan Radzak (Firdaus Azizul), Ching Hong Aik (Asyraf Al Japri), Alif Shamsuddin, Idris Karim, Halim Zainal, S. Kunanlan, Shahurain Abu Samah, Qhairul Anwar Roslaini (Shaffik Rahman).


ah!!berita

16 mati lemas feri sarat penumpang karam di tengah India

KOLKATA, India 31 Okt. - Sekurang-kurangnya 16 orang mati lemas dan 70 lagi hilang apabila sebuah feri yang sarat dengan penumpang karam di tengah India semalam, kata polis.

Menurut polis, feri yang memuatkan kira-kira 150 orang penumpang itu karam dalam sungai di kawasan hutan bakau Sunderbans, kira-kira 120 kilometer di selatan Kolkata, ibu negeri Bengal Barat, India.

“Semua 16 mayat telah menaikkan oleh nelayan dari arus sungai yang bergelora itu,” kata pegawai kanan polis Bengal barat, Suroji Karpurokayastha kepada AFP.

“Seramai 70 orang penumpang lain masih hilang,” tambahnya. - AFP


ah!!berita

Mendekati Makna Jalur Lebar

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Di kaca televiyen, layar perak serta juga poster dan kain rentang di jalan raya, masyarakat sudah pasti tidak akan terlepas pandang iklan yang begitu banyak mengenai 'jalur lebar'.

Dan bagi mereka yang melangkah masuk hipermarket atau pusat membeli-belah, mereka tidak akan sunyi didekati jurujual yang menawarkan pelbagai pakej jalur lebar.

Syarikat-syarikat telekomunikasi kini menawarkan pelbagai pakej jalur lebar yang diiringi banyak 'hadiah' serta insentif untuk menarik perhatian umum mengambil perkhidmatan mereka.

Baru-baru ini penulis didatangi seorang jurujual yang menawarkan satu pakej jalur lebar.

"Apa itu jalur lebar?" tanya penulis, sengaja menguji beliau.

"Internet", jawab beliau ringkas.

Tapi apakah sebenarnya jalur lebar?

Bila ditanya, James Ng seorang pensyarah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) memberikan jawapan ini:

"Jalur lebar juga dikenali sebagai jalur luas. Ia satu jaringan komunikasi di mana keluasan jalur boleh digunakan untuk menghantar dan menerima pelbagai isyarat secara serentak".

Dari aspek telekomunikasi, jalur lebar ialah satu julat atau lingkungan untuk frekuensi menyalurkan maklumat.

"Ini bermakna lebih besar julat frekuensi yang ada, lebih banyak maklumat yang boleh dihantar pada satu-satu masa.

"Jalur lebar juga digunakan sebagai istilah umum tentang pelbagai sambungan Internet".

BANDINGKAN DENGAN LEBUH RAYA

Bagi menerangkan jalur lebar dengan lebih mudah, Ng memberikan contoh sebuah lebuh raya.

"Gambarkan tentang satu lebuh raya," kata beliau.

"Lebuh raya yang hanya punya dua lorong, membolehkan hanya satu kenderaan lalu dari satu-satu arah pada satu masa. Tetapi dengan lebuh raya yang punya enam atau lapan lorong, lebih banyak kenderaan boleh lalu dari mana-mana arah pada satu masa. Jalur lebar bolehlah dianggap sama dengan lebuh raya dari aspek telekomunikasi".

Pada umumnya, jalur lebar merujuk pada aspek telekomunikasi di mana terdapat julat atau linkungan frekuensi besar yang boleh menyalurkan maklumat.

"Bila ada julat frekuensi yang besar, pelbagai maklumat dalam pelbagai bentuk yang menggunakan gelombang berlainan boleh disalurkan secara serentak pada satu-satu masa. Sama seperti pelbagai kenderaan yang banyak dapat melalui lebuh raya dengan serentak".

JENIS HUBUNGAN JALUR LEBAR INTERNET

Menurut Ng, terdapat beberapa jenis jalur lebar dalam pasaran dan ada yang lebih mahal serta ada yang lebih 'cepat'.

Katanya juga hubungan jalur lebar internet merupakan konsep baru yang diguna menggantikan konsep 'dial-up'.

"Internet jalur lebar lebih cepat dan menawarkan beberapa kelebihan. Contohnya kelajuan lebih pantas bagi internet jalur lebar dibandingkan dengan internet yang menggunakan dial-up".

Katanya terdapat 'Asymmetric Digital Subscriber Line (Talian Pelanggan Digital Asimetri) atau ADSL yang merupakan medium jalur lebar popular bagi pengguna internet komersil dan rumah.

"Sesiapa yang punya talian telefon boleh menggunakan perkhidmatan ini. ADSL menggunakan talian telefon biasa".

Juga terdapat 'Symmetric Digital Subscriber Line' (Talian Pelanggan Digital Bersimetri) atau SDSL. Perkhidmatan ini sama dengan perkhidmatan DSL yang ditawarkan syarikat telefon melalui talian telefon yang sedia ada.

Bagaimanapun SDSL mempunyai kelajuan muat naik yang sama tinggi dengan muat turun dan lebih mahal daripada ADSL.

ASDL ialah jalur lebar yang biasa digunakan. Perkhidmatannya ialah melalui talian telefon yang sedia ada dan melalui satu 'modem. Walaupun Internet sedang digunakan, pengguna masih boleh membuat atau menerima panggilan telefon.

KABEL

"Jika anda melanggan televisyen kabel, anda tahu isyarat televisyen disalurkan melalui kabel dari syarikat televisyen ke rumah anda. Sambungan internet jalur lebar anda melalui kabel ini.

"Sambungan jalur lebar kabel sangat popular di Amerika dan di sesetengah pasaran lebih popular daripada ASDL," kata Ng.

Kata beliau sejenis lagi sambungan jalur lebar ialah tanpa wayar.

Ia lebih digunakan di kawasan luar bandar di mana ASDL dan sambungan kabel tidak wujud. Di sini, satu antena diletakkan di luar rumah yang menerima isyarat untuk komputer yang di dalam rumah.

Talian telefon tidak diperlukan untuk sambungan jenis ini.

TANPA WAYAR, SATELIT

"Jika telefon boleh berfungsi tanpa wayar, begitu juga dengan jalur lebar," kata Ng.

Kata beliau pengguna hanya perlu menyambungkan telefon bimbit mereka ke komputer riba dan komputer itu akan bertukar menjadi sebuah modem tanpa wayar.

Data melalui jalur lebar juga boleh diterima melalui satelit. Jika berada di kawasan pedalaman, pengguna perlu menggunakan piring satelit untuk menerima data tetapi perkhidmatan ini tinggi kosnya kerana ia memerlukan piring khas serta juga peralatan satelit.

Ia diperlukan di tempat yang tiada ADSL dan kabel.

Pengguna komputer riba biasanya memilih jalur lebar tanpa wayar kerana terdapat lebih banyak kelebihan jika dibandingkan dengan hubungan jalur lebar yang lain sepert ADSL dan SDSL.

Dengan kehadiran satu kad data, ia tidak lagi memerlukan modem dan wayar untuk sambungan internet. Sambungan jalur lebar ini datang secara 'plug in" (memasukkan plak) dan memang senang untuk digunakan.

INISIATIF JALUR LEBAR

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan dijangka merancakkan lagi transformasi sosial dan ekonomi negara ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Ia akan membantu negara menjadi lebih kompetitf melalui inovasi, kreativiti serta nilai tinggi dan kebebsan saluran maklumat," Dr Rais dilaporkan memberitahu media sebelum majlis pelancaran Inisiatif Jalur Lebar tersebut.

Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan merupakan strategi komprehensif di mana komponen utamanya ialah jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Inisiatif Jalur Lebar Kebangsan dan jalur lebar berkelajuan tinggi di Dataran Merdeka di sini pada 24 Mac lepas.

Menurut laporan setakat Julai, lebih 37 peratus isi rumah Malaysia mempunyai kemudahan sambungan jalur lebar. Ini bersamaan kira-kira 2.4 juta rumah daripada 6.3 juta rumah di Malaysia.

Untuk mencapai sasaran penembusan 50 peratus isi rumah menjelang hujung tahun ini, sejumlah satu juta rumah lagi perlu mempunyai sambungan jalur lebar.

-- BERNAMA

ah!!berita

Mendaki Gunung Stong Bagai Terapi Hindar Kekusutan Minda

Oleh Rhoma Ahmad Razali

KUALA KRAI, 29 Okt (Bernama) -- Gunung Stong, dikenali juga sebagai Gunung Setong, di Dabong dalam jajahan Gua Musang, Kelantan mempunyai ketinggian 1,433 meter.

Pendakian ke puncak gunung itu sememangnya menjadi satu pengalaman yang amat bermakna dan sukar untuk dilupakan.

Penulis berpeluang merasai pengalaman itu selepas menerima jemputan mengikuti Ekspedisi Cabaran Stong 2010 anjuran Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena sambutan ulangtahun ke-125 organisasi pengangkutan awam tersebut pada 1 Jun lepas.

Seramai 51 peserta terdiri dari wakil media dan agen pelancongan menyertai ekspedisi tiga hari itu yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan KTM dan media menerusi aktiviti riadah di samping menghayati keindahan alam semulajadi.

Ekspedisi ini adalah yang kedua selepas kumpulan yang pertama berjaya menawan puncak Gunung Ledang dalam satu pendakian serupa yang diadakan sebelum ini, kata Pengurus Kanan Komunikasi Korporat KTMB, Mohd Fazil Ismail.

EKSPEDISI BERMULA

Pada permulaan ekspedisi, peserta bertolak dari Stesen Sentral Kuala Lumpur tepat pukul 8.30 malam menaiki tren dan tiba di stesen Dabong, terletak kira-kira 155km dari Kota Baharu pada pukul 8.30 pagi keesokan hari.

Perjalanan kemudian diteruskan dengan menaiki van dan kereta menuju ke Stong Hill Resort yang mengambil masa 15 minit dari Stesen Dabong, iaitu sebuah pusat rekreasi yang menyediakan kemudahan chalet yang terletak di kaki Gunung Stong.

Kesemua peserta kemudian berkumpul dan diberi taklimat ringkas mengenai taman negeri itu serta laluan pendakian oleh jurupandu pendakian sebelum melakukan senaman regangan.

Tepat pukul 10 pagi ekspedisi bermula dengan cabaran pertama yang harus ditempoh ialah dua jam mendaki menuju ke Kem Baha, di mana peserta mendirikan khemah untuk bermalam sebelum meneruskan pendakian ke puncak gunung.

Sepanjang perjalanan mendaki ke Kem Baha itu, kami disajikan dengan pemandangan indah dan menarik hutan Taman Negeri Gunung Stong yang kaya dengan hidupan flora dan fauna, serta gunung batu kapur yang berusia berjuta-juta tahun lamanya.

Taman negeri tersebut juga tersenarai sebagai antara lima destinasi ekosistem terbaik di Malaysia.

Paling memukau adalah keindahan air terjun Jelawang, yang mempunyai ketinggian 303 meter dari paras laut dan mempunyai tujuh peringkat yang boleh ditemui semasa pendakian.

Di sini, pendaki tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati pemandangan cantik air terjun tersebut selain merakamkan gambar kenangan.

Sepanjang perjalanan itu juga, peserta ekspedisi diuji dengan pelbagai rintangan, termasuk terpaksa melalui jalan yang sempit dan curam selain terpaksa memanjat batu yang tinggi serta berbahaya.

Namun semua itu tidak menjadi penghalang dan semua peserta selamat tiba di Kem Baha pada pukul 12 tengah hari.

MENUJU KE PUNCAK STONG

Selepas mendirikan khemah dan menikmati makan tengah hari, peserta kemudian bersiap untuk meneruskan cabaran pendakian selama empat jam lagi bagi menuju ke puncak Gunung Stong.

Kali ini hanya 36 peserta menyahut cabaran tersebut manakala selebihnya mahu beristirehat dan menikmati air terjun Jelawang serta pemandangan indah di Kem Baha.

Pendakian kali ini adalah lebih sukar dan mencabar. Peserta terpaksa melalui jalan sempit dan licin yang menyukarkan pendakian sehingga menyebabkan beberapa peserta tergelincir dan terseliuh kaki.

Ada juga yang mengalami kekejangan otot kaki sehingga terpaksa mengalah dan berpatah balik ke Kem Baha.

Sesekali kedengaran juga suara serangga hutan yang seolah-olah 'mengejek' kami yang keletihan.

Selepas hampir dua jam mendaki, keletihan semakin dirasai, namun keindahan hutan Gunung Stong dan suasana nyamannya seolah-olah memberi semangat kepada peserta untuk meneruskan pendakian.

Pemandangan memang menarik bagi siapa saja yang mencintai alam dan aktiviti luar. Taman negeri ini tidak hanya memiliki nilai-nilai eko-pelancongan tetapi juga berfungsi sebagai kawasan pemuliharaan yang signifikan bagi flora dan fauna.

Taman negeri itu juga merupakan 'tempat tinggal' bagi beberapa jenis haiwan liar termasuk Gajah Asia, seladang, burung merak Argus, harimau Malaya dan tapir.

Selepas lebih empat jam mendaki, akhirnya puncak Stong berjaya ditawan.

Walaupun keletihan, rasa puas dan gembira jelas terpancar di wajah setiap peserta yang berjaya menawan puncak gunung tersebut.

Dari puncaK Gunung Stong, peserta ekspedisi dapat melihat pemandangan cantik dan mengujakan Taman Negeri Gunung Stong itu. Dari situ kami juga boleh nampak puncak Gunung Ayam dan Baha yang begitu cantik diselaputi kabus tebal.

Suasana di puncak gunung itu juga sangat nyaman dan menenangkan dengan suhu antara 15 dan 18 darjah selsius.

Seketika menikmati pemandangan cantik dan suasana nyaman itu, memang sesuai dijadikan terapi untuk melupakan sementara kekusutan minda dan kesibukan kota.

-- BERNAMA

ah!!berita

10Rooms Tawar Penginapan Mewah

SYDNEY, 30 Okt (Bernama) -- Penginapan mewah yang istimewa kini boleh dinikmati di Australia dengan pelancaran 10Rooms di The Grace Hotel di sini minggu lepas.

The Grace dimiliki dan dikendalikan oleh syarikat Malaysia, Low Yat Group.

10Rooms menawarkan kemewahan untuk tetamu yang mahukan sesuatu yang istimewa, jauh dari rumah, ruang unik yang menjadikan bulan madu atau percutian mereka suatu tidak boleh dilupakan semasa berada di Sydney.

Biliknya mempunyai hiasan dalaman yang bergaya dan boleh diatur mengikut kemahuan individu.

10Rooms, mengisi tingkat sembilan, 10 dan 11, menawarkan perkhidmatan yang menggunakan produk pembersihan mesra alam.

"10Rooms tidak seperti konsep mana-mana hotel yang lain. Setiap bilik mengikut kehendak dan citarasa individu. 10Rooms merupakan suatu pengalaman peribadi," kata Pengurus Besar hotel, Phillip Pratley.

10Rooms dilancarkan oleh Claudia Chan Shaw, dari rancangan popular ABC, 'The Collectors' pada 19 Okt.

-- BERNAMA

ah!!berita

Kelantan Catat Sejarah, Muncul Juara Piala Malaysia 2010

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kelantan melakar sejarah negeri apabila buat julung kali menjulang Piala Malaysia, setelah menewaskan juara musim lepas Negeri Sembilan 2-1, pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini Sabtu malam.

Kemenangan itu turut menebus kehampaan tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun sejak kali pertama Kelantan mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika piala tersebut dikenali sebagai Piala H.M.S Malaya.

Negeri Sembilan memperolehi gol pertama seawal minit ke-13 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Shahurain Abu Samah.

Pengadil perlawanan Subkhiddin Mohd Salleh memberi sepakan itu kepada Negeri Sembilan setelah penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menjatuhkan S. Kunalan dalam kotak penalti.

Negeri Sembilan terus mengasak pintu gol Kelantan menerusi beberapa serangan namun gagal menembusi kekentalan benteng lawan yang dibarisi Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Farisham Ismail dan Rizal Fahmi Abdul Rosidi.

Bersambung babak kedua, 'The Red Warriors' yang ditemani sekurang-kurangya 60,000 penyokong terdesak untuk mencari gol dan melakukan beberapa asakan yang akhirnya membuahkan gol penyamaan pada minit ke-57.

Hantaran luar Norshahrul Idlan Talaha tidak disia-siakan Ketua Pasukan 'The Red Warriors' Indra Putra Mahayuddin yang menanduk dan merobek gol Negeri Sembilan.

Kelantan semakin garang apabila Mohd Badri Mohd Radzi menambah jaringan pada minit ke-65 hasil hantaran cantik Mohd Norfarhan Muhamad.

Ketiadaan tonggak utama Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak yang terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan menyebabkan Negeri Sembilan semakin tertekan apabila ketinggalan 1-2.

Bagi mengukuhkan kubu pertahanan, jurulatih Kelantan B. Sathianathan mengambil tindakan bijak memasukan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Khairan Eroza Razali.

Strategi itu berjaya apabila tamat masa permainan menyaksikan Kelantan muncul juara Piala Malaysia musim ini selepas berjaya mempertahankan kedudukan 2-1 menewaskan Negeri Sembilan.

-- BERNAMA

ah!!berita

Perdana Menteri Australia Mulakan Lawatan Ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Australia Julia Gillard memulakan lawatan dua harinya ke Malaysia pada Ahad selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur di Hanoi, Vietnam.

Wisma Putra dalam satu kenyataan di sini berkata Gillard dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatan Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya Ahad.

Najib juga akan mengadakan jamuan tengah hari meraikan delegasi Australia itu.

Kenyataan itu berkata Gillard akan diiringi pasangannya dan pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri dan Kabinet, Jabatan Hal Ehwal Luar Negara dan Perdagangan, serta Jabatan Kewangan dan Deregulasi Australia.

Lawatan ini sangat bermakna bagi Malaysia kerana ia merupakan lawatan perhubungan dua hala pertama Gillard ke rantau ini selepas menjadi Perdana Menteri pada 24 Jun lepas, kata kenyataan itu.

"Lawatan ini akan memberi peluang kepada Malaysia dan Australia untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu bersama membabitkan hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa," kata kenyataan itu.

Australia adalah rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia pada tahun lepas. Dagangan dua hala merekodkan RM22.96 bilion (US$7 bilion) bagi tempoh Jan-Ogos tahun ini, iaitu peningkatan 20.5 peratus berbanding RM19.28 (US$5.4 bilion) untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Ketibaan pelancong Australia juga meningkat hampir 25 peratus kepada 533,382 orang tahun lepas, berbanding 2008.

-- BERNAMA

ah!!berita

Saya Bangga Diberi Peluang Cipta Kejayaan Buat Kelantan - Sathianathan

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- "Untuk menjulang Piala Malaysia bukanlah satu perkara yang mudah dan saya amat berbangga dengan kejayaan anak buah saya."

Demikian kata jurulatih pasukan Kelantan, B. Sathianathan kepada pemberita sejurus selepas pasukan bimbingannya menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan akhir saingan Piala Malaysia, di sini.

Jelas berpuas hati dengan persembahan anak buahnya, Sathianathan berkata beliau berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan kerana memberi kepercayaan kepadanya serta pengurusan terbaik sehingga berjaya merealisasikan impian seluruh rakyat Kelantan itu.

"Saya tidak bimbang dengan corak permainan anak buah saya pada perlawanan separuh masa pertama tetapi saya bimbang dengan prestasi mereka ketika Negeri Sembilan mendahului kita 1-0," katanya mengulas perlawanan tersebut. Beliau berkata pemain Kelantan hanya berjaya menonjolkan kemampuan sebenar pada babak kedua perlawanan.

"Walaupun pemain kita agak tertekan, ianya telah dijadikan sebagai pendorong untuk mereka menjaringkan dua gol mengatasi lawan pada separuh masa kedua," katanya.

Sementara itu jurulatih pasukan Negeri Sembilan Wan Jamak Wan Hassan tidak malu dengan kekalahan pada malam ini kerana menganggap pemainnya telah mempamerkan semangat juang yang tinggi.

"Kehilangan tonggak utama Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak telah membuka jurang besar kepada Kelantan untuk membolosi dua gol," katanya.

Wan Jamak berkata beliau tetap berbangga dengan perjuangan sejati yang ditunjukkan oleh anak jati Negeri Sembilan.

Kelantan terpaksa menunggu selama 55 tahun untuk membawa Piala Malaysia ke Kota Baharu selepas layak buat kali pertama ke saingan akhir piala tersebut pada 1955, ketika ia dikenali Piala H.M.S Malaya.

-- BERNAMA

ah!!berita

Mesyuarat Majlis Raja-raja Pandang Berat Trend Politik Semasa

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Raja-Raja Melayu menitahkan seluruh rakyat Malaysia untuk memahami dan menghayati sejarah pembentukan negara dan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan kepada kontrak sosial iaitu semangat permuafakatan dan persefahaman antara kaum dan persetujuan Raja-Raja Melayu.

"Raja-Raja Melayu berpegang bahawa kontrak sosial yang telah dipersetujui ini merupakan watikah yang menjadi asas kepada keadilan sosial di negara ini yang merangkumi cita-cita bagi mencapai hasrat pembahagian ekonomi secara adil.

"Sikap tolak ansur antara kaum menunjukkan kematangan rakyat pelbagai kaum di negara ini," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di sini Ahad.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-222 yang berlangsung di Istana Negara pada 13 dan 14 Okt lepas memandang berat mengenai trend politik semasa yang dilihat sedang meniup angin perkauman dan mencabar kedaulatan Perlembagaan negara.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja mengambil maklum akan perkembangan semasa serta kebimbangan yang disuarakan oleh individu-individu dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan berhubung perkara-perkara menyentuh agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, orang Melayu dan bahasa Melayu.

Majlis Raja-Raja, menurut kenyataan itu memandang serius kewujudan jumlah jenayah yang dikategorikan sebagai jenayah berat, yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman dan imej negara.

Raja-Raja Melayu bersama Yang Dipertua-Yang Dipertua negeri memahami serta menghargai usaha-usaha Kerajaan Persekutuan menyatupadukan rakyat berlandaskan semangat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan itu, Raja-Raja Melayu menitahkan setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama supaya terus bersatu serta setia kepada negara demi memelihara kedaulatan dan kemakmuran negara kerana setiap rakyat mempunyai peranan dalam pembangunan negara.

Setiap rakyat hendaklah terus menghormati dan akur kepada Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang dan mengelakkan tindak-tanduk yang membawa pertelingkahan, perselisihan faham dan syak wasangka antara kaum yang menjejaskan kemakmuran dan keharmonian negara, titah Raja-raja Melayu.

"Demi kedaulatan dan keharmonian negara yang kita kasihi ini, Raja-Raja Melayu berharap rakyat tidak akan memberi peluang untuk penglibatan dan campur tangan pihak luar dalam urusan negara," menurut kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu turut menyeru orang Melayu supaya bersatu padu dan tidak bertelingkah sesama sendiri berlandaskan semangat persaudaraan Islam, agar kedudukan orang Melayu tidak terpinggir dan terhakis dalam arus pembangunan negara.

"Pemimpin-pemimpin pertubuhan Melayu wajib mencari persamaan, bermuafakat menggunakan hikmah dan kebijaksanaan, melindungi dan membela nasib orang Melayu," menurut kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu menegaskan bahawa keutuhan bangsa Melayu serta nasib orang Melayu tidak akan terpelihara jika para pemimpin pertubuhan Melayu lebih cenderung untuk bertelagah dan memilih untuk berselisih faham.

"Raja-Raja Melayu berdoa agar Malaysia yang dikasihi ini sentiasa berada dalam keadaan aman damai dan rakyatnya yang berbilang kaum terus bersatu serta kekal makmur dan sejahtera.

"Semoga Malaysia terus mendapat perlindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

ah!!berita

Wednesday, October 27, 2010

Maut turun bukit

MELAKA: “Arwah Fadzly (Mohd Fadzly Mohd Ariff) sepatutnya menemani saya bertemu pelanggan di Tangkak, Johor pagi ini (semalam), namun dia mahu membawa rakan lain untuk berjumpa bakal pelanggan di Jempol, Negeri Sembilan.
“Tidak sangka arwah terbabit kemalangan dan meninggal dunia. Pagi tadi (semalam) kami sama-sama bersarapan di Bukit Serindit,” kata Perunding Pinjaman Persendirian CIMB Bank, Rahizan Abd Rahim, 34, mengenai kemalangan ngeri di Jalan Bukit Bulat Menggong, Alor Gajah, pagi semalam, membabitkan dua rakan sekerjanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, dua kakitangan bank yang juga Perunding Pinjaman Persendirian, Khairul Afif Mohd Kassim, 24, dari Taman Satelit, Bahau, Negeri Sembilan, dan Mohd Fadzly Mohd Ariff, 22, dari Felda Palong, Gemas, Negeri Sembilan, meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Difahamkan, kereta dipandu oleh Khairul Afif terbabas ke laluan bertentangan ketika menuruni bukit di tempat kejadian sebelum kemalangan.

Akibat kemalangan itu, kedua-dua mereka cedera parah akibat tersepit dalam kereta jenis Perodua Kancil yang remuk sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat.

Menurut Rahizan, Mohd Fadzly adalah kakitangan di cawangan CIMB Jalan Bendahara, dekat sini, yang menunjukkan prestasi kerja baik walaupun baru berkhidmat.
“Arwah memang paling kelakar dan ceria di pejabat. Namun, dalam dua hari kebelakangan ini, saya menyedari perubahan ketara pada dirinya apabila tiba-tiba jadi pendiam dan kurang bercakap.


ah!!berita

Angka korban meningkat

PADANG: Pesawat dan helikopter yang penuh dengan pekerja penyelamat dan bekalan bantuan mendarat buat kali pertama di kepulauan pedalaman Indonesia semalam selepas kawasan berkenaan dilanda tsunami setinggi tiga meter lewat Isnin lalu, meragut sekurang-kurangnya 311 nyawa.
Seramai 160 cedera manakala 410 lagi hilang.

Gambar pertama yang dirakam menerusi udara menunjukkan sebahagian besar kawasan itu ditenggelami air dan tempat kediaman musnah akibat dipukul ombak besar itu.

Ia satu daripada dua bencana yang melanda Indonesia dalam tempoh 24 jam. Gunung berapi paling aktif di negara itu, Gunung Merapi yang terletak kira-kira 1,300 kilometer ke timur Sumatera meletup petang kelmarin, mengeluarkan asap dan menyebabkan 30 orang terbunuh.

Kedua-dua kejadian itu berlaku di sepanjang Lingkaran Api yang terdedah kepada gempa bumi dan kegiatan gunung berapi.

Sejak gempa melanda Kepulauan Mentawai malam Isnin lalu, ombak kuat dan cuaca buruk menjejaskan operasi menyelamat, menyebabkan penduduk terpaksa berdikari untuk menyelamatkan diri.
Click Here
Tanpa tenaga secukupnya untuk menggali kubur, mayat terbiar bergelimpangan di kawasan pantai dan jalan raya, kata ketua daerah di kepulauan itu, Edison Salelo Baja.

Pegawai bantuan bencana masih berusaha menjejaki lebih 12 kampung di kawasan paling teruk terjejas di Kepulauan Mentawai, destinasi popular untuk peluncur ombak.

Kawasan itu hanya boleh dimasuki dengan menaiki bot selama 12 jam.

Ketua Pusat Bencana Kementerian Kesihatan, Mujiharto berkata, pegawai bantuan membawa bersama-sama mereka beratus-ratus beg mayat.

Gempa dengan magnitud 7.7 itu yang melanda lewat Isnin lalu berlaku 20 kilometer di bawah dasar lautan. Ia diekori dengan sekurang-kurangnya 14 gegaran susulan dengan yang terkuat berukuran 6.2.

Ketua Pusat Pengurusan Bencana Sumatera Barat, Harmensyah berkata, jumlah korban akibat tsunami itu meningkat kepada 311 orang dan lebih 400 penduduk hilang.

Pegawai berkata, beratus-ratus rumah kayu hanyut di Pulau Pagai dengan sebahagian besar kawasan pertanian dan jalan raya ditenggelami air.

Di Muntei Baru, sebuah kampung di Pulau Silabu, 80 peratus kediaman rosak teruk.

Kedua-dua pulau itu adalah sebahagian daripada kepulauan Mentawai, kira-kira 270 kilometer dari pantai barat Sumatera. - AFP


ah!!berita

Penjaga Merapi terkorban

UMBULHARJO, (Indonesia): Seorang penjaga Gunung Merapi yang dikenali sebagai ‘Kakek Marijan’ ditemui mati tertimbus di bawah timbunan debu selepas gunung berapi berkenaan meletup, semalam.
Mayat Marijan dan kira-kira 28 yang lain ditemui di bawah timbunan debu ketika anggota pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari mangsa yang terbunuh mahupun yang masih hidup.

Lelaki berusia 70-an yang dilantik sebagai penjaga Gunung Merapi oleh kerabat diraja Jawa sebelum ini sudah melakukan pelbagai upacara tradisi sejak bertahun-tahun lamanya dari kediamannya di kaki gunung itu bagi mententeramkan semangat gunung berkenaan.

Mayat Marijan yang ditimbusi debu ditemui dalam keadaan bersujud menandakan penjaga Gunung Merapi itu berjuang hingga ke detik terakhir bagi mengelak gunung itu meletus.

Media tempatan melaporkan seorang wartawan pergi ke kediaman Marijan untuk memujuknya meninggalkan tempat itu selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran terakhir pada Isnin lalu menjangkakan letupan besar akan berlaku.

Namun, seorang anggota penyelamat, Taufik memberitahu lelaki tua itu enggan meninggalkan kediamannya.
“Saya sudah biasa di rumah, jadi lebih baik saya tinggal di sini dan bersolat saja,” kata Taufik sebagai memetik kenyataan Marijan. Penduduk desa di kaki Gunung Merapi meluahkan kesedihan dan kebimbangan dengan kematian penjaga gunung itu.

“Bagi kami, Marijan sama pentingnya dengan Merapi. Kini, dia sudah tiada lagi dan siapa yang akan menjaga Merapi? Apa yang akan terjadi jika berlaku lagi letupan?” kata petani, Wanto. Gunung Merapi yang berketinggian 2,915 meter dan membawa maksud ‘Gunung Api’ adalah paling aktif daripada 69 gunung berapi di Indonesia. - AFP


ah!!berita

Aidil nadi benteng NS

PENGALAMAN Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak di pentas antarabangsa mahupun pada saingan domestik ditagih Negeri Sembilan untuk mengekang asakan penyerang Kelantan ketika kedua-dua pasukan membuat perhitungan pada final Piala Malaysia, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Aidil, 23, diakui antara pemain pertahanan kebangsaan mantap berjaya dilahirkan Negeri Sembilan dan pada final itu, keupayaan mengawal benteng bakal menjadi antara faktor penentu misi skuad Hoben Jang Hoben mempertahankan kejuaraan.

Aidil, abang kembar Mohd Zaquan Adha, bertekad memastikan benteng pasukan kebal daripada ditembusi penyerang lawan yang dijangka melakukan serangan bertali arus ke kubu Negeri Sembilan untuk menebus kekecewaan tewas 1-3, pada final tahun lalu.

Dia yang bergandingan dengan Tengku Qayyum Ubaidillah, bersedia menggalas tugas sebaik mungkin seperti mana kepercayaan diberikan jurulatih Wan Jamak Wan Hassan dan berazam beraksi cemerlang bagi memastikan reputasi dan maruah pasukan dipertahankan.

“Saya akui tugas ini lebih mencabar berbanding tahun lalu berikutan barisan penyerang Kelantan kali ini lebih berwibawa membabitkan Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahyuddin, Norfarhan Mohamad dan Norshahrul Talaha.

“Namun saya bersedia melakukan tugas dengan baik dan tidak berdepan masalah bergandingan dengan Tengku Qayyum untuk pertahankan benteng kerana kami bukan kali pertama bertemu Kelantan dan berdepan barisan penyerang mereka.
Click Here
“Kami termasuk penjaga gol Sani Anuar Kamsani akan pastikan mereka berdepan laluan sukar untuk melepasi benteng dan seterusnya menjaringkan gol,” katanya semalam.

Aidil berkata, walaupun ramai memilih Kelantan sebagai pasukan pilihan, dia berasa kecil hati kerana mengetahui kekuatan dan kelemahan skuad bimbingan B Sathianathan itu selepas bertemu sebanyak empat kali sepanjang saingan Liga M musim ini dengan rekod pertemuan memihak kepada Negeri Sembilan.

Justeru, dia yakin pemain Negeri Sembilan mampu membendung impian besar Kelantan yang berazam merampas trofi Piala Malaysia kali ini.

Dia yang turun buat kali ketiga pada pentas final berjanji memberikan tumpuan sepenuhnya bagi membalas kepercayaan pengurusan dan peminat untuk melakar sejarah gemilang merangkul trofi kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

“Saya akan menggunakan sebaik mungkin pengalaman untuk membantu pasukan mencapai kemenangan dan berharap misi kami direalisasikan Sabtu ini,” katanya.


ah!!berita

21 kompaun iklan haram

AMPANG: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sentiasa berusaha membanteras pemasangan kain rentang secara haram serta iklan haram yang ada dalam kawasan pentadbiran mereka.
Sebanyak 271 kompaun dikeluarkan ke atas pesalah sejak Januari sehingga Ogos lalu.

Yang Dipertua MPAJ, Datuk Mohammad Yacob berkata, pihaknya sentiasa mengadakan pemantauan bagi memastikan tidak ada individu yang berani memasang kain rentang tanpa kebenaran.

“Kami membuat pemantauan dan jika didapati ada yang melanggar peraturan kompaun RM1,000 dikenakan. Bagi pesalah yang mempunyai kompaun melebihi tiga, lesen perniagaan mereka akan dibatalkan serta merta,” katanya.


ah!!berita

Duit ‘kutu’ lebur

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dikesan menganjurkan permainan kutu dengan mensasarkan pekerja berpendapatan rendah sebagai mangsa sebelum menghilangkan diri bersama wang yang dilaburkan itu.
Bagi meyakinkan mangsa, wanita berusia 48 tahun itu menjanjikan pulangan 100 peratus dalam tempoh seminggu selepas wang mangsa dilaburkan.

Yang menghairankan, wanita itu membayar keuntungan dijanjikan kepada pelabur untuk tempoh tertentu sebelum pelabur sama melaburkan semula wang dengan jumlah lebih banyak dan ketika itu mangsa menghilangkan diri.

Malah, wanita itu juga hanya berurusan dari dalam kereta. Alasannya bagi mengelak dicekup polis.

Setakat ini, 11 kakitangan sebuah hotel di Chow Kit mengadu diperdaya wanita berkenaan hingga mengakibatkan kerugian puluhan ringgit dan barangan kemas sejak mereka bermain kutu anjuran wanita terbabit tiga bulan lalu.

Wanita itu menggunakan alasan mahu menolong mereka berpendapatan rendah menyebabkan ramai kakitangan tertarik menyertainya. Bukan itu saja, dia juga memberi pilihan kepada kakitangan berkenaan melabur dalam bentuk emas sekiranya tiada wang.
Mangsa yang dikenali sebagai Siti Khadijah, 46, berkata dia tidak menyangka janji manis wanita itu hanya bertahan tiga minggu sebelum semua wang pelaburannya lesap begitu saja.

Katanya, wanita itu diperkenalkan rakan sekerjanya di sebuah hotel menyebabkan dia bersama 11 rakan lain turut menyertainya.

“Pada mulanya pelaburan yang dibuat nampak mudah dan meyakinkan apabila diberitahu pulangan diperoleh genap seminggu bergantung kepada jumlah pelaburan yang dilakukan.

“Dia juga memberi jaminan pelaburan dilakukan membawa pulangan sehingga 100 peratus dan keuntungan itu halal kerana wang pelaburan berkenaan digunakan bagi membiayai perniagaan mereka yang daif dan miskin,” katanya.

Katanya, tertarik dengan keuntungan dijanjikan memberi barangan kemas miliknya bernilai RM5,000 dan wang RM1 000 kepada wanita terbabit Julai lalu.

“Saya tidak menerima resit rasmi bagi menunjukkan bayaran yang dibuat tetapi nama saya direkodkan dalam buku nota yang sering dibawa wanita itu bersama-sama beberapa nama pelabur lain di dalamnya,” katanya.

Katanya, wanita itu dikenali sebagai Hajar Bee Bee Tajudin, 48, berasal dari Perak dan dipercayai berkahwin dengan warga asing.

Susulan kejadian itu, menurutnya, dia dan rakan lain membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi minggu lalu kerana wanita itu gagal membayar keuntungan seperti dijanjikan.

Berikutan itu, polis sedang mengesan wanita berkenaan.


ah!!berita

MSN Sasar Bawa Pulang Sembilan Emas Di Guangzhou

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) mensasarkan untuk membawa pulang sembilan pingat emas pada temasya Sukan Asia di Guangzhou, China menerusi tiga sukan pilihan utama iaitu berbasikal, tenpin boling dan skuasy.

Ketua Pengarahnya Datuk Zolkples Embong berkata tiga daripada sembilan emas yang disasarkan itu dijangka diraih menerusi skuad boling iaitu dalam acara perseorangan lelaki, wanita dan beregu.

Beliau berkata perkara itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai skuad negara memandangkan kejayaan demi kejayaan yang telah dirangkul dalam pelbagai kejohanan di peringkat antarabangsa.

"Saya melihat kekuatan skuad tenpin boling pada kali ini. Mereka mempunyai kekuatan yang seimbang antara lelaki dengan wanita. Namun begitu, pasukan wanita masih kekal dengan prestasi memberangsangkan.

"Kalau dulu kita bergantung kepada pasukan wanita tetapi sekarang ini pasukan lelaki dengan pengalaman yang ada di kalangan pemain veteran seperti Alex Liew dan Zulmazran Zulkifli ditambah dengan keupayaan pemain muda seperti antaranya Adrian Ang, Muhd Syafiq Ridhwan, dan Muhd Nur Aiman Khairuddin mampu merancakkan misi kita memburu emas," katanya.



Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat latihan persiapan skuad tenpin boling di Megalanes Endah Parade, Sri Petaling di sini Rabu.

September lepas, Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) mengumumkan 12 pemain termasuk enam wanita bagi menggalas cabaran negara di Guangzhou, November ini.



Pemain lelaki terpilih ialah Adrian Ang, Alex Liew, Muhd Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Aaron Kong, Zulmazran Zulkifli dan Muhd Nur Aiman Khairuddin manakala pasukan wanita terdiri daripada Zatil Iman Abdul Ghani, Zandra Aziela Ibrahim Hakimi, Esther Cheah, Sin Li Jane, Sharon Koh dan Shalin Zulkifli.

Bagaimanapun, lima pemain iaitu Adrian, Muhd Syafiq, Muhd Nur Aiman, Li Jane dan Zatil Iman akan bersaing buat julung kali pada temasya Sukan Asia manakala pemain lain telah beraksi pada Sukan Asia Doha, Qatar pada 2006.

Skuad boling telah menyumbang tiga daripada lapan pingat emas yang dimenangi oleh Malaysia pada temasya berkenaan.

Pengurus pasukan ke Guangzhou ialah naib presiden MTBC, Cheah Ban Cheng dan Holloway Cheah sebagai ketua jurulatih.

Sebanyak 12 pingat emas akan dipertandingkan dalam acara tenping boling dan acara perseorangan lelaki akan membuka tirai pada 15 Nov.

-- BERNAMA 

ah!!berita

Calon BN Tidak Kisah Latar Pendidikan Dipolitik Pas

GUA MUSANG, 27 Okt (Bernama) -- Calon Barisan Nasional Abdul Aziz Yusoff berkata walaupun hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau yakin mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada pengundi jika dipilih sebagai wakil rakyat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas dalam pilihan raya kecil 4 Nov ini.

Abdul Aziz, 49, yang juga Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang berkata, pendidikan tinggi tidak menjamin seseorang itu mampu menjadi wakil rakyat yang terbaik jika individu itu tidak mempunyai kemampuan dan kesanggupan untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

"Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba sendiri tidak mempunyai pendidikan yang tinggi dan memulakan kerjaya hanya sebagai seorang guru, namun hasil ketokohan dan kesanggupannya berbakti kepada rakyat, beliau akhirnya menjadi Timbalan Perdana Menteri dan berbakti kepada seluruh negara.

"Jadi soal perbezaan latar pendidikan seperti yang mainkan oleh pembangkang tidak timbul. Yang penting pengundi Galas perlu bijak memilih parti yang mampu untuk melakukan perubahan dan pembangunan di kawasan ini kerana kita telah banyak ketinggalan dari arus pembangunan," katanya pada majlis pemimpin bersama penduduk di Kampung Batu Papan di sini yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Pas, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 Sept lepas.

Abdul Aziz menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad.



-- BERNAMA

ah!!berita

Jetstar Tawar Tambang Murah Sambut Ulang Tahun Keenam

SINGAPURA, 27 Okt (Bernama) -- Syarikat penerbangan tambang murah, Jetstar, merayakan ulang tahun keenamnya di Singapura dengan tawaran tambang murah ulang tahun serendah $28 untuk penerbangan sehala termasuk semua, ke destinasi-destinasi percutian Jetstar.

Jualan Ulang Tahun Ke-6 Jetstar itu ermula malam ini dan akan berakhir pada pukul 8:59 malam (waktu tempatan) Isnin ini kecuali jika tiketnya habis dijual sebelum itu.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu berkata promosi itu adalah bagi penerbangan dalam tempoh perjalanan terpilih tahun depan dengan jualan tiket terhad semasa tempoh puncak dan cuti umum atau mungkin tidak boleh didapati bagi semua penerbangan atau pada semua hari.

Pelanggan-pelanggan boleh membeli tiket sehala istimewa termasuk semua (JetSaver Light) dari Singapura ke destinasi-destinasi seperti Phuket, Jakarta, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dari $28 melalui Jetstar.com.

Penumpang boleh menaiki penerbangan dari Singapura ke Darwin dengan tambang serendah $88 atau ke Perth dengan tambang serendah $148, atau membuat penerbangan terus ke destinasi-destinasi yang lebih jauh seperti Melbourne (dari $328) dan Auckland (dari $298).

-- BERNAMA

ah!!berita

KOAM Yakin Jaguh Lompat Tinggi Negara Mampu Beri Pingat

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) yakin juara lompat tinggi Kejohanan Trek dan Balapan Asia (ATF) Lee Hup Wei mampu menyumbang sekurang-kurang satu pingat tanpa mengira warna pada Sukan Sukan Asia di Guangzhou, China bulan depan.

Timbalan presidennya Karim Ibrahim meluahkan keyakinan tersebut berdasarkan kelebihan dari segi pengalaman dan kemahiran yang ada pada anak kelahiran Dengkil itu.

"Saya harap Hup Wei mampu menyerlah pada temasya bulan depan seterusnya menyumbangkan pingat negara jika beliau mengekalkan atau memperbaiki lompatan 2.26m atau 2.27m," katanya kepada Bernama di sini.

Ketika beraksi di Sukan Komanwel di New Delhi baru-baru ini, persembahan Hup Wei agak mengecewakan apabila sekadar melepasi 2.23m, jauh lebih rendah daripada keupayaannya pada 2.27m yang juga rekod kebangsaan.

Hup Wei, yang menang emas ATF di Jordan tiga tahun lepas, menduduki tempat kelapan pada Sukan Asia Doha, Qatar pada 2006.

Sementara itu, Karim berkata beliau kurang yakin dengan kemampuan ratu lompat bergalah, Roslinda Samsu untuk melakukan kejutan di Guangzhou nanti.

"Beliau perlu menyaingi catatan terbaiknya 4.40m untuk layak meraih pingat," katanya.

Karim berkata Roslinda perlu melipat gandakan semangat dan usahanya jika beliau benar-benar berhajat mahu membawa pulang pingat.

Roslinda pulang dengan tangan kosong pada Sukan Komanwel lepas, apabila hanya berupaya melakukan lompatan 3.95 meter berbanding catatan terbaiknya 4.40m dan menamatkan saingan akhir di tempat ke-10.

Keputusan itu menunjukkan kemerosotan ketara memandangkan beliau pernah meraih perak pada Sukan Asia Doha 2006 dengan lompatan 4.35m, dan pada Sukan Komanwel di Melbourne, Australia tahun yang sama Roslinda mencatatkan 4.25m.

Ketika ditanya tentang keupayaan kuartet baru negara, Karim berkata beliau tidak meletakkan harapan kepada kuartet 4x100m negara iaitu Siti Zubaidah Adabi, Norjannah Hafiszah Jamaludin, Nurul Sarah Abdul Kadir dan Yee Yi Ling sebaliknya mengharapkan pencapaian yang terbaik dapat dibuat kumpulan baru itu.

"Saya harap mereka dapat menyaingi catatan rekod kebangsaan yang mereka buat pada Julai lepas," katanya.

Kuartet tersebut melakukan catatan baru 45.33 saat dalam acara 4x100m wanita semasa beraksi di Kejohanan Olahraga di Poland.

Catatan itu memperbaharui rekod kebangsaan 45.37 saat yang berusia 21 tahun yang dilakukan oleh gandingan Anita Ali, G.Shanti, Sajaratuldur Hamzah dan Mumtaz Jaafar pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Setakat ini, seramai enam orang iaitu Hup Wei, Roslinda dan kuarter 4x100m itu telah menempah tiket ke Guangzhou.

Peluang untuk beraksi di Sukan Asia yang akan berlangsung dari 12 hingga 27 Nov masih terbuka kerana senarai akhir hanya akan dimuktamadkan selepas Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan yang akan berlangsung di Trek Olahraga Majlis Sukan Negara (MSN) pada Sabtu dan Ahad ini.

-- BERNAMA

ah!!berita

Tun Dr Lim Chong Eu Dimasukkan Ke ICU, Hospital Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 27 Okt (Bernama) -- Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tun Dr Lim Chong Eu, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang selepas diserang angin ahmar Selasa.

Bekas Presiden Gerakan berusia 91 tahun itu dimasukkan ke hospital berkenaan pada pukul 11 pagi.

Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan, ketika dihubungi Bernama, , mengesahkan kesihatan Chong Eu tidak begitu baik.

"Sejak kebelakangan ini, beliau memang tidak berapa sihat," katanya.

Ketua Menteri Lim Guan Eng, yang melawat Chong Eu, enggan mengulas ketika ditanya mengenai perkembangan mengenai kesihatan tokoh politik itu.

Chong Eu menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selama 21 tahun mulai Mei 1969 hingga Oktober 1990 dan menerajui parti Gerakan selama sembilan tahun mulai 1971.

Di bawah kepimpinannya, Gerakan menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1972.

Chong Eu dilahirkan di sini dan mendapat pendidikan awal di Penang Free School sebelum mendapat Biasiswa Ratu pada 1937 bagi melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan d Universiti Edinburgh, Scotland.

Beliau mendapat ijazah perubatan dan pembedahan pada 1944 dab aktif dalam perkhidmatan awam termasuk dilantik ke majlis perundangan negeri pada 1949.

Dalam politik, beliau pernah menjawat beberapa jawatan kanan dalam MCA sebelum menjadi presiden Gerakan.

-- BERNAMA

ah!!berita

Singapura Lakukan Perubahan Kabinet Berkuatkuasa 1 Nov

SINGAPURA, 28 Okt (Bernama)- - Kerajaan Singapura pada Rabu mengumumkan rombakan kecil barisan kabinet berkuatkuasa mulai Isnin depan.

Satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri petang ini berkata Menteri Undang-undang K Shanmugam akan dilantik untuk juga memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, menggantikan Wong Kan Seng yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Wong sebaliknya akan mengambil alih tugas sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional daripada Prof S Jayakumar yang akan melepaskan jawatan itu untuk kekal sebagai Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri.

Wong akan juga menyelia Bahagian Populasi Nasional dan Bakat, yang akan dibentuk di bawah Pejabat Perdana Menteri bagi menyelaras populasi Singapura dan dasar bakat merentasi pelbagai kementerian.

Kenyataan itu berkata Jayakumar akan terus menyelaras dasar-dasar mengenai perubahan iklim, menyelia hal-hal dasar luar yang merentasi pelbagai kementerian dan bertanggungjawab terhadap isu-isu dasar luar yang melibatkan rundingan perundangan atau penghakiman antarabangsa.

Sementara itu, Pemangku Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian Lui Tuck Yew akan dinaikkan pangkat ke Menteri penuh.

Dua Setiausaha Kanan Parlimen, Dr Amy Khor dan Masagos Zulkifli akan dinaikkan pangkat kepada Menteri Negara dalam kementerian mereka sekarang.

Khor akan kekal di Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air sementara mengekalkan jawatannya sebagai Datuk Bandar Majlis Pembangunan Komuniti Barat Daya dan pengerusi REACH.

Masagos akan kekal di kementerian-kementerian pendidikan dan Hal Ehwal Dalam Negeri.

Dua lagi Setiausaha Parlimen, Sam Tan dan Dr Mohamad Maliki Bin Osman akan dinaikkan pangkat kepada Setiausaha Parlimen Kanan di kementerian masing-masing.

Sam ketika ini Setiausaha Parlimen Kementerian-kementerian Perdagangan dan Industri, dan Penerangan, Komunikasi dan Kesenian, sementara Mohamad Maliki Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Nasional.

-- BERNAMA

ah!!berita

Najib Berlepas Ke Hanoi Hadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-17

SEPANG, 28 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas ke Hanoi Rabu malam bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-17 dan sidang kemuncak berkaitan bermula Khamis.

Pesawat khas membawa beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor berlepas dari Kompleks Bunga Raya kira-kira pukul 11.20 malam.

Sidang kemuncak kali ini akan sekali lagi menghimpunkan para pemimpin negara anggota Asean untuk membuat keputusan berhubung isu utama Asean.

Antara agenda terpenting adalah memperakukan penyertaan dua kuasa besar dunia -- Amerika Syarikat dan Rusia -- sebagai rakan rasmi Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang diterajui Asean, pelan induk mengenai kesalinghubungan Asean dan pilihan raya umum Myanmar yang ditetapkan pada 7 Nov ini.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton dan Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov dijadual menghadiri mesyuarat itu selaku pemerhati.

Pemimpin Asean juga dijangka meluluskan deklarasi mengenai pembangunan sumber manusia dan kemahiran untuk pemulihan ekonomi dan pembangunan mapan, serta Deklarasi Hanoi berhubung peningkatan kebajikan sosial dan pembangunan wanita dan kanak-kanak.

Topik lain yang dijadual untuk dibincangkan termasuk bantuan kemanusiaan, keselamatan maritim, pelancongan kebudayaan, perubatan ketenteraan, menjaga keamanan dan keadaan tegang yang wujud baru-baru ini berikutan jerebu di rantau ini.

Terdapat 11 mesyuarat pada sidang kemuncak tiga hari itu, termasuk membabitkan kalangan pemimpin serantau, serta antara pemimpin Asean dan rakan mereka.

Asean dianggotai Brunei, Myanmar, Indonesia, Laos, Kemboja, Filipina, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam .

-- BERNAMA

ah!!berita

Tuesday, October 26, 2010

Kelainan finalGadis Melayu 3

PELBAGAI ilmu telah ditimba oleh sembilan orang gadis cantik ini bagi melengkapkan diri untuk bergelar ikon Gadis Melayu 3 (GM3).

Ilmu kemahiran kendiri, kecantikan, warisan bangsa serta ketahanan diri, adalah antara ilmu yang dipelajari sepanjang tiga bulan program ini berjalan

Setelah melalui pelbagai proses pembelajaran dan cabaran fizikal dan kerohanian dalam membentuk nilai-nilai kemelayuan yang kian pupus ditelan zaman, kini kesemua peserta telah bersedia menempuhi malam penentuan. 

Rancangan realiti milik TV9 akan menemui juaranya pada malam akhir GM3 yang akan bersiaran secara langsung pada 29 Oktober ini pada hari Jumaat, selama dua jam mulai pukul 8.30 malam.

Peserta-peserta GM3 ialah Afiqah Hazwani Md Nordin, 18, atau lebih dikenali Afiqah dari Johor; Nur Diana Zainuddin (Diana), 19, dari Pulau Pinang dan Nor Shamimi Ernida Mansor (Mimie), 20, dari Kedah.

Lain-lain termasuk Fatheen Nabila Ghazali (Fatheen), 24, dari Johor; Norazrina Mohd Salleh (Rina), 25, dari Selangor dan Siti Nur Afiqah Abdullah (Siti), 21, dari Kelantan.

Tiga peserta lain terdiri daripada Norhidayah Samsudin (Hidayah), 21, dari Johor; Siti Nurzakiah Abdul Aziz (Zakiah), 21, dari Selangor dan Siti Mastura Mohamad Saleh (Mastura), 24, dari Pahang.

Pelbagai keistimewaan, kelainan dan kejutan akan dibawa pada musim ini yang pastinya akan menggamatkan lagi malam bersejarah tersebut.

Selain kesemua peserta seramai sembilan orang itu bergelar peserta akhir, turut akan diadakan buat pertama kalinya persembahan teater muzikal oleh mereka untuk dinilai oleh para juri pada malam itu

Menurut Penerbit Eksekutif GM3, Wan Sabariah Shikh Ali, teater muzikal itu bagi menguji mereka dari segi nilai-nilai kemanusiaan dalam menyentuh tiga isu semasa yang sedang hangat diperkatakan.

Tiga tajuk teater muzikal yang akan dipersembahkan mereka pada mereka pada malam itu nanti ialah Bencana Banjir di Pakistan, Gaza Kami Endah dan Sayangi Anugerah Itu iaitu tentang isu pembuangan bayi.
"Musim-musim sebelum ini, peserta diberi kebebasan menonjolkan bakat mereka tidak kira menyanyi, menari mahupun berpuisi pada malam akhir, tapi kali ini kami mahu menetapkan satu bidang sahaja.

"Teater Muzikal ini fokus kepada nilai isu kemasyarakatan dan kemanusiaan. Kesemua peserta perlu hayati dan membuat kajian sebelum latihan dalam menyampaikan watak-watak mereka nanti.

"Konsep baru bagi malam final ini bertujuan memancarkan sikap ambil berat dan kemampuan calon Ikon GM3 apabila berhadapan dengan sebarang tragedi yang melanda di dalam mahupun di luar negara.

"Teater muzikal ini akan turut menampilkan beberapa pelakon tanah air untuk membantu menghidupkan watak serta penampilan khas daripada beberapa tokoh kenamaan negara," ujarnya ketika ditemui di sidang akhbar Gadis Melayu 3 Final di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Teater muzikal ini diarahkan oleh pengarah teater terkenal, Norzizi Zulkifli dan skrip tulisan Wan Sabariah sendiri.

Pada malam peringkat akhir Gadis Melayu 3, pengacaranya iaitu Ashraf Muslim, akan berganding dengan pengacara spontan dan bersahaja, Sharifah Shahirah.

Sebanyak 50 peratus markah adalah daripada penjurian awal di mana mereka telah diuji berdasarkan kepintaran, penampilan dan cara mereka berkomunikasi.

Pada malam peringkat akhir, 20 peratus adalah berdasarkan persembahan teater muzikal mereka dan 30 peratus dalam segmen Soal Jawab.

Juara Ikon GM3 akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, set Mutiara Rafflesia bernilai RM120,000, barangan Singer bernilai RM10,000, trofi serta jambangan bunga.

Empat penerima hadiah saguhati pula akan membawa pulang wang tunai RM1,000 seorang, barangan Singer dan jambangan bunga.

Empat orang peserta turut tidak pulang dengan tangan kosong apabila akan membawa pulang wang tunai RM500 setiap seorang, barangan Singer dan jambangan bunga.

Tiga orang peserta turut telah dipilih sebagai pemenang hadiah sampingan dari penaja iaitu Gadis Hai-O yang dimenangi oleh Afiqah, Gadis Secret Garden yang dimenangi oleh Diana dan Gadis Silkygirl yang dimenangi oleh Zakiah.



ah!!berita

Bincang jual Bakun muktamad akhir tahun

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Perbincangan penjualan empangan hidro elektrik Bakun di Sarawak dijangka dimuktamadkan sebelum pertengahan tahun depan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, oleh sebab, empangan itu akan mula menjana tenaga elektrik pada pertengahan tahun depan, sebarang keputusan tentang penjualannya akan dimuktamadkan sebelum tempoh tersebut.

‘‘Bakun merupakan milik Kementerian Kewangan Diperbadankan dan ia sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Sarawak pada masa ini. Saya, bagaimanapun, tidak mengetahui lebih lanjut mengenai perbincangan tersebut,’’ kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab Forum Eksekutif ABB bertemakan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan Model Baru Ekonomi (MBE) - Menjana Transformasi Ekonomi Malaysia dan Tenaga Mapan Pada Masa Hadapan, di sini hari ini.

Forum itu dianjurkan oleh ABB Malaysia Sdn. Bhd. (ABB).

Bulan lalu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kerajaan negeri telah menawarkan untuk membeli empangan tersebut pada harga RM6 bilion.

Namun, katanya, kerajaan negeri akan meningkatkan bidaan kepada RM7 bilion sekiranya kaedah pembayaran boleh dirunding.

Sebelum ini, terdapat laporan mengatakan terdapat dua lagi pembida dari kerjasama antara Qatar Investment Authority, Malton Bhd. dan sebuah syarikat China yang menawarkan pembelian pada harga RM8.8 bilion.
Pembida lain adalah unit pelaburan strategik kerajaan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dengan nilai tawaran RM8 billion.

Kos keseluruhan empangan Bakun adalah RM7.3 bilion, tetapi ia telah melebihi kadar tersebut berikutan beberapa masalah yang berlaku ketika pembinaannya.

Ketika diminta mengulas mengenai pengunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga baru untuk menjana elektrik, Fah Kui berkata, kerajaan berharap unit pertama loji penjanaan tenaga akan dapat disiapkan menjelang 2012.

‘‘Ia mungkin dapat direalisasikan menjelang 2021 apabila kerja-kerja asas dan penjelasan kepada rakyat telah dibuat mengenai kebaikan dan keburukan penggunaan tenaga elektrik.

‘‘Mengenai lokasi loji nuklear tersebut, kami telah mengenal pasti beberapa lokasi tetapi masih terlalu awal untuk mengumumkannya. Apa yang boleh saya katakan semuanya dilakukan dengan telus,’’ jelasnya.


ah!!berita

Empat polis terbunuh dalam serangan bom di barat Afghanistan

KABUL 27 Okt. - Empat anggota polis Afghanistan termasuk seorang ketua polis tempatan terbunuh dalam satu serangan bom di wilayah Herat, di barat negara ini.

Jurucakap bagi gabenor wilayah Herat, Naqib Arwen berkata, serangan bom itu nampaknya disasarkan ke atas pegawai polis atasan di daerah Obe dan meletup ketika kenderaan yang dipandu melalui kawasan ini.

"Ia adalah letupan yang kuat. Kami masih menyiasat, namun laporan awal kami menunjukkan ia merupakan bom kawalan jauh," katanya. - AP


ah!!berita

Cedera: Ballack tidak akan beraksi sebelum 2011

LEVERKUSEN 27 Okt. - Michael Ballack dijangka akan kembali beraksi pada permulaan separuh masa kedua musim Bundesliga.

Pemain tengah Bayer Leverkusen yang berusia 34 tahun itu mendedahkan, dia akan membatalkan cuti perayaan Krismas bagi memastikan dia mampu berusaha kembali berstamina ketika cuti musim sejuk untuk permulaan semula aksi pada 15 Januari depan.

Ballack yang retak tulang kering dan cedera di tendon kaki kirinya itu memberitahu majalah kelab bahawa, sasarannya adalah tarikh pada separuh masa musim untuk berada di padang semula.

Bekas pemain Chelsea itu turut terlepas Piala Dunia akibat kecederaan buku lali. - AP


ah!!berita

Olimpik: Blair nasihatkan Rio de Janeiro fokus pada temasya

SAO PAULO 27 Okt. - Tony Blair mengingatkan penganjur Olimpik, Rio de Janeiro supaya mereka terus fokus melebihi penganjuran tersebut, untuk memastikan temasya itu memberi lebih manfaat kepada negara selepas 2016.

Semalam, bekas Perdana Menteri Britain itu berkata, tiada gunanya penganjuran temasya terbabit, ‘jika tiada rasa untuk memperkembangkan sesuatu yang berguna untuk masa depan.”

Blair yang bersungguh-sungguh mendapat bidaan untuk London sebagai penganjur pada 2012 itu telah melontarkan pendapat demikian dalam satu seminar dengan usahawan terkemuka dan pegawai kerajaan Brazil di Sao Paulo.

“Sebahagian daripada kesan penganjuran adalah apa yang sukan boleh lakukan kepada masyarakat. Sukan hari ini adalah jauh lebih penting daripada sukan itu sendiri. Ia boleh digunakan sebagai polis untuk membanteras jenayah yang terbaik malah polis kesihatan sekali pun,” ujarnya. - AP

ah!!berita

Microsoft Office For Mac 2011 Masuki Pasaran

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Microsoft Malaysia Selasa mengumumkan Microsoft Office for Mac 2011, versi baharu suite produktiviti terkemuka bagi komputer Macintosh, kepada rakyat Malaysia hari ini.

Ia ditawarkan dalam dua edisi -- Office for Mac Home and Student 2011 dan Office for Mac Home and Business 2011, dan boleh dibeli daripada penjual runcit di seluruh negara, kata Microsoft dalam satu kenyataan di sini hari ini.

"Produk ini menawarkan kepada pengguna Mac satu suite aplikasi dengan ciri paling lengkap yang ada hari ini," kata pengurus produk bagi Windows dan Office bahagian jualan runcit dan pemasaran, Microsoft Asia Tenggara, Vosen Chong.

"Matlamat kami bagi versi ini ialah untuk menambah baik Office 2008 for Mac yang telahpun tinggi keserasiannya," katanya.



--BERNAMA

ah!!berita

Gunung Merapi Meletus Dan Turunkan Hujan Abu Vulkano

YOGYAKARTA, 26 Okt (Bernama) -- Letusan Gunung Merapi petang tadi mula meragut korban dengan sekurang-kurangnya satu kematian, selain mencederakan sejumlah mangsa dengan luka melecur di muka dan badan.

Stesen televisyen swasta MetroTV menyiarkan gambar paramedik berusaha menyelamatkan bayi berusia sekitar tiga bulan dengan alat bantuan pernafasan.

"Keadaan pernafasan bayi ketika datang ke hospital memang sudah parah, diperkirakan memang sudah meninggal di perjalanan," kata Dr Sasongko yang bertugas di Hospital Umum Daerah Muntilan, Jawa Tengah.

Beliau berkata di hospital itu terdapat sembilan pesakit lain yang cedera akibat letusan gunung berapi tersebut.

Sementara itu, Hospital Panti Nugroho di Sleman, Yogyakarta turut merawat beberapa pesakit yang cedera akibat melecur.

Dari gambar yang ditampilkan, kelihatan pesakit melecur di seluruh tubuh hingga ke muka.

Suasana di sekitar Merapi masih mencengkam, dan proses pemindahan penduduk masih dilakukan.

Ketua Kampung Desa Kepuharjo yang terletak di Cangkringan, Sleman iaitu Heri Suprapto berkata seluruh penduduk di desanya yang berjumlah ribuan orang, telah ditempatkan di kawasan lapang di sebuah desa lain.

Ketika dihubungi Bernama menerusi telefon, beliau sedang menguruskan pemindahan penduduk.

"Pada masa ini, hujan abu masih sangat lebat sehingga warga berbondong-bondong menuju ke tempat yang lebih selamat melalui laluan pemindahan yang ditetapkan," katanya.

Penulis sendiri yang memandu ke Yogyakarta telah mengalami hujan abu Merapi bila memasuki Gombong Timur, Jawa Tengah kira-kira 200 kilometer ke gunung berapi itu.

Kereta penulis yang diselimuti abu putih terpaksa berhenti di stesen minyak untuk membersihkan cermin kereta yang menutup pandangan pemandu dari dalam kenderaan.

Udara berdebu yang berbau belerang agak busuk, menyucuk hidung sehingga memerlukan orang ramai memakai topeng muka.

Sebuah bas ekspres kelihatan terpaksa berhenti di tengah jalan kerana cermin depannya turut diselaputi abu putih sehingga menutup pandangan pemandu.

Sementara itu, pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar, pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia, membantu memindahkan seramai 34 pelajar Malaysia dari sebuah pesantren di Magelang ke Solo.

Sebanyak tiga mukim di daerah Sleman yang mempunyai kira-kira 13,500 penduduk, diancam bahaya selepas Gunung Merapi meletus.

Namun, jika dilihat kesan hujan abu gunung berapi yang menjangkau 200 kilometer, jumlah penduduk yang diancam bahaya adalah jauh lebih besar.

-- BERNAMA 

ah!!berita

Perak Sentiasa Pantau Pengambilan Pasir Secara Haram

IPOH, 26 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri sentiasa memantau ketat aktiviti pengambilan pasir secara haram di Perak, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata kesungguhan kerajaan negeri ini dapat dilihat pada rekod Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri.

Satu kes pengambilan pasir secara haram telah dibawa ke mahkamah manakala sebanyak 97 kes lagi yang melibatkan pelanggaran syarat permit pengambilan pasir telah diambil tindakan sepanjang tahun ini, katanya.

"Kita tidak akan bertolak ansur (terhadap mana-mana pihak) lebih-lebih lagi jika ia ada melibatkan pegawai dan kakitangan kerajaan.

"Setiap kes itu akan dinilai mengikut merit masing-masing berdasarkan prosedur dan undang-undang yang ada.

"Tindakan menukar (pegawai dan kakitangan terlibat) sahaja tidak cukup. Ini tidak akan menyelesaikan masalah," katanya kepada pemberita selepas melawat Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri di sini hari Selasa.

Beliau diminta mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2009 mengenai prestasi PTG Negeri Perak bahawa aktiviti pengambilan pasir secara keseluruhannya adalah tidak memuaskan kerana berlaku banyak kes pelanggaran syarat yang ditetapkan.

Laporan itu menyarankan supaya penguatkuasaan dan pemantauan secara berterusan serta bersepadu dilaksanakan oleh jabatan berkenaan supaya aktiviti pengambilan pasir tidak mencetuskan impak serius terhadap alam sekitar.

-- BERNAMA 

ah!!berita

Pengeluar Filem Malaysia Digesa Filemkan Novel Sandokan

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Pengeluar filem di negara ini digesa mengangkat buku garapan penulis terkenal antarabangsa seperti pengarang Itali Emilio Salgari, yang memanfaatkan bahan dari khazanah dunia Melayu, sebagai filem.

Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit berkata Salgari menulis novel yang amat popular berkisar tentang seorang pahlawan bernama Sandokan, dan ini membuktikan bahan dari dunia Melayu boleh diangkat serta diolah sehingga menjadi karya yang mengasyikkan khalayak antarabangsa.

"Perjuangan Sandokan mencetuskan satu fenomena yang memberi kesan, khususnya kepada khalayak Itali, dan masyarakat Eropah secara umumnya, terutama sekali di kalangan generasi muda di sana.

"Sesudah dicipta sekian lama oleh Emilio Salgari, kisah pemimpin karismatik yang memperjuangkan pembebasan Borneo daripada penjajahan terus disebar luas meliputi siri drama, filem, komik, filem animasi termasuk secara online serta DVD.

"Memang merugikan jika kita rakyat Malaysia tidak tahu-menahu tentang pengkisahan ini, jadi, pengeluar filem di negara ini diharapkan dapat membuat filem mengenai Sandokan, supaya masyarakat kita juga boleh menghargainya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan novel "Sandokan: Lanun Malaysia" di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini hari Selasa.

Turut hadir pada majlis anjuran bersama Institut Terjemahan Negara (ITNM) dan kedutaan Itali di Malaysia sempena program "Minggu Bahasa Itali di Dunia" yang bermula hari ini sehingga Jumaat, ialah Duta Itali ke Malaysia Folco de Luca Gabrielli.

Dawos berkata ITNM juga perlu mengambil inisiatif untuk menterjemah lebih banyak karya Salgari dan penulis terkenal yang lain.

Novel terjemahan ITNM daripada buku asal yang diterbitkan pada 1896, karya Emilio Salgari berjudul "I pirati della Malesia" mengisahkan tentang Sandokan, watak protagonis dalam 11 novel pengembaraan karya Salgari, dan dikenali di serata Laut Cina Selatan sebagai "Harimau Malaya".

-- BERNAMA

ah!!berita

23 terbunuh gempa di Mentawai, tsunami 3 meter

JAKARTA 26 Okt. – Dipercayai 23 orang terbunuh dalam kejadian gempa dengan kekuatan 7.7 skala Richter di Mentawai, Sumatera Barat malam tadi.

Pengurus Pusat Pengendalian Bencana Sumatera Barat, Ade Edward berkata, mereka yang terkorban ditemui di Kampung Malakopak, Kecamatan Pagai Selatan dan di Pulau Pagai Utara.

Gempa bumi yang berpusat di Mentawai dilaporkan menyebabkan tsunami setinggi 3 meter di beberapa daerah. - Agensi


ah!!berita

Gua Musang “Kampung Wifi” pertama di Kelantan

 GUA MUSANG 26 Okt — Gua Musang menjadi jajahan pertama di Kelantan menerima perkhidmatan melayari internet tanpa wayar secara percuma melalui program “Kampung Wifi” melibatkan 30 buah kampung dalam jajahan itu.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri, Dr. Rais Yatim berkata, selaras dengan usaha kerajaan memberi kemudahan itu kepada semua lapisan masyarakat termasuk di luar bandar, kementeriannya akan melaksanakan Kampung Wifi secara berperingkat dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata perkara itu sudah dirancang lebih awal lagi kerana kerajaan mahu rakyat di semua peringkat sama ada di bandar atau luar bandar menikmati kemudahan terbabit secara sama rata.

"Buat kali pertama di Kelantan kita lancarkan dahulu Kampung Wifi di Gua Musang kerana ramai penduduk menunggu-nunggu perkhidmatan itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kampung Wifi di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Sungai Terah, di sini hari ini.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas, Abdul Aziz Yusoff, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Khalid Ramli dan ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.— Bernama

ah!!berita

Sotong `ajaib’ Paul mati

BERLIN 26 Okt. - Sotong kurita, Paul yang dikenali kerana ketepatan ramalannya berhubung keputusan pertandingan Piala Dunia di Afrika Selatan Julai lalu, mati di akuarium yang menempatkannya di Jerman.
“Pihak pengurusan dan kakitangan di Pusat Hidupan Laut Oberhausen sedih selepas mendapati haiwan yang terkenal dengan ramalan tepatnya semasa Piala Dunia lalu itu, mati malam tadi.

“Paul mengagumkan dunia apabila berjaya meramal tepat pemenang perlawanan melibatkan pasukan Jerman, begitu juga dengan keputusan perlawanan akhir. Kejayaannya merupakan cerita yang lebih besar daripada Piala Dunia itu sendiri,” kata pengurus pusat hidupan laut itu, Stefan Porwoll dalam satu kenyataan. - AFP


ah!!berita

Gunung Merapi mula meletus

GUNUNG MERAPI, Indonesia 26 Okt. - Ahli sains tempatan mengesahkan gunung berapi yang terletak di Daerah Sleman, Yogyakarta, Gunung Merapi, sudah mula meletus.

Beberapa penduduk cedera disebabkan terkena debu panas ketika letusan permulaan Gunung Merapi sebentar tadi.

Seorang wartawan agensi berita AP menyaksikan sehingga 20 orang terpaksa dibawa ke hospital selepas cedera terkena debu panas tersebut.

Ketua ahli vulkanologi kawasan itu, Subandriyo berkata, Gunung Merapi memulakan letusan pertamanya hanya kira-kira selepas senja.

Sebelum itu kata beliau, gunung berkenaan berderam-derum dan berkeriut selama beberapa jam. - AP


ah!!berita

Kereta api laju KL-Singapura dikaji

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Projek perkhidmatan kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Singapura yang merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) masih dalam peringkat kajian sebelum ia dibawa ke Majlis Ekonomi Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata, ia kemudiannya akan diputusan oleh Kabinet.

“Kita menjangkakan keputusan sama ada ia sesuai atau tidak dibina bergantungkepada keputusan Kabinet yang mana ia mungkin diputuskan selepas bulan Februari atau Mac,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku ETP yang disempurnakankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.
Selain itu, menurut Idris, keputusan untuk kereta api diteruskan sehingga ke Singapura atau berhenti di Johor Bahru juga akan diputuskan oleh jemaah menteri kelak.

Mengulas lanjut katanya, dalam menuju ke arah negara maju menjelang tahun 2020, kerajaan telah mencadangkan projek bernilai RM1.2 trilion bagi dibangunkan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Beliau berkata, pembabitan kerajaan hanya lapan peratus daripada pelaburan yang diperlukan itu dan kerajaan perlu menyediakan insentif pelaburan.

“Selebihnya swasta akan memainkan peranan di dalam pelaburan tersebut,” katanya.
Idris berkata, berdasarkan pemantauan kerajaan, hampir 45 peratus daripada jumlah pelaburan sebanyak AS$97 bilion (RM300.7 bilion) yang mewakili 53 Projek Penempatan Pekerjaan (EPP).

Antara EPP yang telah pun bermula ujarnya ialah pelaburan permulaan berjumlah RM214 juta daripada RM1.9 bilion oleh LFoundry untuk membina kemudahan fabrikasi wafer di Taman Teknologi Kulim, Kedah.


ah!!berita

Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Bantah Kafa Jual Tiket Secara Berpakej

KOTA BAHARU, 26 Okt (Bernama) -- Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelantan.net) akan memulaukan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bertegas mahu menjual tiket secara berpakej.

Timbalan Presidennya Nik Mohd Salehuddin Nik Abdul Razak berkata tindakan Kafa itu bagaikan mengambil kesempatan di sebalik keghairahan untuk memberi sokongan kepada pasukan bola sepak negeri itu.

"Saya bagi pihak kelab penyokong Kelantan.net melahirkan rasa kecewa dan dukacita dengan tindakan Kafa menjual tiket secara berpakej yang sangat membebankan kami," katanya kepada Bernama di sini hari Selasa.

Semalam Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir itu akan mula dijual hari ini secara berpakej iaitu serendah RM40.

Melalui pakej itu, pembeli bukan sahaja terpaksa membayar harga asal tiket tetapi turut dikenakan caj merangkumi cenderamata "The Red Warriors" seperti T-shirt, topi dan jam tangan.



Penyokong Kelantan yang mahu mendapatkan tiket itu hari ini berang dengan tindakan Kafa itu menyebabkan penjualan tiket terpaksa dihentikan sementara.

Nik Mohd Salehuddin berkata sewajarnya Kafa menjual tiket pada harga sebenar semata-mata dan bukannya membebankan penyokong supaya turut sama membeli cenderamata itu.

Sementara itu, kelab tersebut bersyukur kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menangguhkan hukuman terhadap Ketua Jurulatih, B. Sathianathan dan membenarkan jurulatih itu berada di bangku simpanan pada perlawanan akhir.

Katanya keputusan FAM itu melegakan peminat-peminat bola sepak Kelantan yang sedang bersemangat untuk memberi sokongan kepada pasukan Kelantan bagi mencipta kemenangan di Bukit Jalil.

Dua hari lepas, kelab berkenaan dilaporkan merayu FAM supaya menangguhkan hukuman terhadap Sathianathan sehingga selesai perlawanan Piala Malaysia musim ini bagi membolehkan peminat memberi tumpuan kepada perlawanan akhir itu.

Jumaat lepas, Lembaga Disiplin FAM memutuskan Sathianathan digantung selama enam bulan dan denda RM2,000 gara-gara memberi komen mengenai perlawanan Perlis menentang Terengganu, tiga bulan lalu.

-- BERNAMA 

ah!!berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...